Jumaat, 15 Mei 2009

Rindu Seorang Aku

“ Assalamualaikum, cikgu ” Suara dihujung talian menyapaku. Kantukku yang masih bersisa bubar entah kemana.

“ Wa’alaikumussalam..Ni munirah yea? ” Mana mungkin aku dapat menyisihkan memoir dengan bekas pelajar-pelajarku, yang pernah menghiasi sedikit cebisan kehidupanku taktala pernah bergelar seorang ‘cikgu’

Cikgu Khatijah, Cikgu Ijja, Cikgu Baik, Ustazah Comel. Gelaran itu seakan masih terngiang di cuping telinga. Rindunya aku untuk bergelar lagi sebagai seorang guru ! Biarpun gelaran itu ku sandang hanya untuk beberapa bulan, namun aku pasti, gelaran ‘cikgu’ itu akan ku sandang hingga mati, buat mereka yang pernah mengenali aku sebagai seorang ‘cikgu’.

Indahnya bergelar seorang guru, indahnya bila dapat menyumbangkan sesuatu buat mereka yang tidak mengetahui. Bertugas di sebuah daerah pedalaman, jauh dari perkembangan teknologi, jauh dari bekalan air bersih yang sempurna, dan jauh dari ‘kesempurnaan’ hidup yang sempurna yang dinikmati insan lain.

Betullah, keindahan itu bukanlah terletak pada satu kesempurnaan, tidak juga pada kecacatan. Tetapi sesuatu itu Nampak sempurna kerana ketidak sempurnaan tadi. Aku temui sesuatu yang lebih sempurna di sini, berbanding kehidupan yang sempurna di luar sana, di daerah ini, daerah yang tidak pernah sunyi dari tawa ria masyarakatnya, Suraunya yang selalu penuh dari awal Ramadhan hingga ke hujungnya, Ukhuwwah yang tidak pernah ku temui titik hujungnya. Acapkali, aku naik segan bila penduduk daerah ini sangat menyanjung tinggi kepada kami, gelaran ‘cikgu’ mengangkat kami setinggi bukit, setinggi langit. Yang Tua, yang makcik, yang Pakcik, Yang atuk, yang nenek, yang ayah, yang emak, yang kakak, yang kanak-kanak juga, mereka mengutamakan kami, dan keutamaan kepada kami itu membuat aku terasa rendahnya di sisi Tuhan. Betapa Ukhuwwah itu terlalu indah bila dijalani dan dihubungkan bila dasarnya hanyalah mengharap kasihnya Tuhan.

“ Cikgu, kami ‘nda’ lama lagi ‘mau’ peperiksaan, cikgu doakan kami ya” Begitu pinta Munirah. Sesekali aku dapat mendengar suara kawan-kawannya yang lain dari belakangnya.
“ InsyaAllah, Cikgu doakan, sudah siap sedia kah untuk ber’jihad’?” Aku soal menduga.
“ Emm, sudah cikgu, tapi ‘nda’ tau lah cikgu, macamana nanti ni, takut ‘nda’ dapat jawab.” Ada suara bergetar dan mendatar dihujung nada. Aku faham perasaannya, kerana aku juga pernah belajar, dan menjadi pelajar. Betapa peperiksaan adalah soal seolah penentu hariku dikemudian hari.
“ InshaAllah, boleh jawab punya, sudah usaha sungguh-sungguh, takkan tak boleh juga kan? Sebelum peperiksaan ni, minta doa mak dan bapa juga, minta maaf dengan semua guru-guru.” Aku cuba memujuk.
“Kenapa mau mintak maaf cikgu?” Munirah ingin tahu.
, " sebab ibubapa dan guru adalah orang-orang yang tergolong makbul doanya, jadi keberkatan dan redha Allah ada pada ‘diorang’” Ringkas aku terangkan.
“Oh..,” Munirah jawab pendek.
Cikgu, kami semua rindu tau dengan cikgu. Di sekolah baru ni, ‘nda’ berapa ‘siok’ cikgu. Kalau cikgu yang ajar kami, mesti ‘siok’, ada baca doa belajar sebelum belajar. Cikgu ‘bilang’ supaya kami cepat faham dan supaya Allah lapangkan hati masa belajar. Di sekolah baru ni juga kan cikgu, masa pendidikan agama Islam saja yang akan baca doa sebelum belajar. Kalau mata pelajaran lain, tiada. Kalau cikgu yang ajar kami, ‘nda’ kira semua mata pelajaran pun cikgu mesti mula dengan doa. Sebab cikgu bilang, Semua apa yang kita buat mesti mulakan dengan niat yang baik dan doa.Niat dan doa cikgu bilang tidak boleh diasingkan atas sebab apa pun..kan cikgu?”
Munirah mengulang ayat yang pernah aku ungkapkan setahun yang lepas. Hu, ada nada sayu bertandang disanubari. Secara tiba-tiba hati rasa mahu menangis. Dari satu sudut hati yang lain, berdoa agar ilmu yang pernah ku ajarkan buat mereka di limpahi keberkatan. Ameen.

“ Cikgu, duit syiling mau habis sudah ni, cikgu, semua kawan-kawan disini kirim salam, jangan lupa doakan kami ya cikgu, babai..” Bunyi talian terputus disebelah sana, aku meletak ganggang.
Secara tiba-tiba air mata bertakung, entah kenapa. Terharu barangkali. Rindu bercampur baur, terkenang daerah pedalaman yang aku tinggalkan. Rindu dengan bahasa angin dari lautnya, Rindu untuk menghayati langit lazuardi dihiasi hamparan laut yang tertebar di saujana mata, setiap petang di jeti. Paling rindu, bila murid-murid kerap datang menghantar kekayaan hasil laut yang dijaring dari jala para nelayan daerahnya. Segar-segar, dan selalu juga aku tidak mungkin kerap dapat menikmati hasil laut yang sebegitu disini. Rindu taktala terdengar azan berkumandang memecah sunyi didada maghrib. Rindu dan syahdu bercampur bila tiap subuh, azan itu juga yang menyapa halwa telinga. Indahnya saat itu, Hanya Allah yang tahu.

Namun, antara semua kerinduan-kerinduan ini, ada lagi yang paling aku rindukan. Aku terasa seolah mahu bergelar lagi sebagai seorang cikgu! Terasa sangat indah bila ilmu yang dicurahkan buat anak-anak murid lekat dikepala dan lekat juga dihati mereka. Moga Ilmu itu tidak dipersiakan. Baru ku tahu, betapa indahnya bergelar cikgu. Betapa besarnya nilai seorang guru, betapa luhurnya hati seorang guru..
Buat ex-cikgu-cikgu yang pernah mengajarku erti hidup, Selamat hari guru, Moga Allah terus memberikan nikmat-nikmat buat kalian, Terima Kasih Cikgu, atas semua jasa, semuanya yang tidak mungkin aku dapat sebutkan satu persatu jasa kalian. Hanya ALLAH yang layak membalasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Silakanlah mengkritik dan saranan.

Shaklee Ready Stock Sabah

Assalamualaikum dan selamat pagi.. Moga hari ini lebih baik dan bermakna dari hari-hari yang lepas Hari ini sekadar mau update stok ready...