Selasa, 28 Disember 2010

Sakit itu Nikmat


Assalamualaikum..

"Ya Allah, andai dengan sakit yang kau uji ini akan membuatkan engkau redha padaku, aku redha ya Allah. Andai sakit ini adalah tanda kasih sayangMU ya Allah, Aku menerimanya dengan redha Ya Allah, Sihat dan sakit ini dariMu ya Allah, berikan aku ketabahan dan kekuatan iman dalam melalui ujian sakit ini, Ya Allah engkaulah tuhan yang Maha pengasih lagi Maha penyayang, Tambahkan rasa syukurku atas tiap ujianmu samaada dalam nikmat ataupun sakit"

Sakit tanda Allah sayangkan kita. Diriwayatkan, Abu Hurairah pernah menangis kerana beliau tidak sakit dan beliau merasakan Allah tidak sayang padanya.

Bersyukurlah jika di timpa sakit, itu bermakna kita berada dalam perhatian Allah S.W.T..

Ada saja babak dalam hidup yang mengharuskan kita menitiskan airmata, kesepian, kesedihan, dan amarah. Kerana juga sakit yang tidak sembuh-sembuh. itu semua kerana keengganan kita untuk memohon padaNya. Kesombongan akan keunggulan diri mengaburkan pandangan kita akan Bijaksananya perancangan Tuhan.

Betapa Cintanya Tuhan kepada hambanya. Nikmat sihat, dan kelengkapan anggota tubuh diberikan secara percuma, tapi kita yang hina ini tidak mahu juga dekat padaNya.
Dengan menimpakan sakit, kesedihan, dan kesulitan hidup, akan lebih mendekatkan kita kepadaNYA. Begitu rindu DIA kepada hambanya yang hina.

Dari sakit kita diajari bagaimana caranya bersyukur akan nikmat sihat. Dari kemiskinan kita diajari bagaimana caranya mensyukuri nikmat kaya. InsyaAllah hati kita akan dibanjiri keikhlasan yang mencurah. Di saat itulah kita siap untuk sakit dan miskin. Di saat itulah kita siap untuk menderita dan kesepian. Air mata kesedihan pun berubah menjadi air mata syukur kerana telah diperhatikan oleh sang Khalik.

“Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”

Demam sudah kebah, tinggal kepala terasa pening dan adakalanya pandangan menjadi gelap, semalam ke klinik, doktor kata tekanan darah sangat rendah.

Ibubapa yang sentiasa mendoakan saya, sahabat yang disayangi, terima kasih atas doa kalian, hanyalah Allah yang layak membalasnya.

Buat diriku, dan pembaca blog yang juga mungkin sedang sakit, selamat menikmati nikmat Ilahi yang tiada batas. Dengan Rahmat & SayangNya buat kita, Allah tidak mungkin menjadikan tiap sesuatu dengan kebetulan dan Sia-sia, pasti ada hikmahnya yang mahu DIA ajarkan kepada kita.


Terima Kasih Tuhan, sungguh Sakit & sihat adalah  nikmat dan rahmat yang tak patut kami dustakan..!

Wassalam.
ijja1912

Khamis, 16 Disember 2010

KOC PINK lagi.



Assalamualaikum..

Ingat lagi tak suatu masa dahulu saya pernah bercerita tentang koc pink? Koc pink sepanjang masa.. Bagi yang tak sempat baca, klik link kat SINI

Semalam, saya berkesempatan untuk menaiki sekali lagi tren KTM, nak menuju ke Bandar Salak Selatan.

Saya agak terkejut, apabila Koc Merah Jambu itu sudah bertukar icon / Thumbnail di pintu masuknya.

Jom tengok gambar sebelum dan Selepas :

SEBELUM :


Memetik kata-kata saya dahulu, ikon pada pintu koc wanita itu agak tidak 'menusuk' difikiran lelaki, dan hampir kebanyakkannya tidak perasan pada ikon seperti itu.

Saya tersenyum sendiri selepas melihat 'Thumbnail' baru itu semalam ;

SELEPAS [ Gambar Terkini ]



Memetik intipati idea dalam entri saya yang lepas :


SYABAS dengan pihak KTMB yang membuat sesuatu untuk isu ini.

Mungkin, selepas ini, pertimbangkan pula untuk buat koc keluarga [ Terutama sekali yang punyai anak kecil ], Koc untuk Warga Tua / warga Emas. Buat warga yang masih muda belia, jangan mengaku warga emas pula kalau tiba-tiba masuk ke koc warga emas itu nanti. ^_^

Apapun, saya tetap bersyukur, seteruk manapun pengangkutan di Malaysia ini, ia belum seteruk di Jepun.  Seperti video di bawah :


MEMO : Ni kalau saya yang ada dalam tren ni, boleh patah riuk tulang belakang saya. T_T


Selasa, 7 Disember 2010

IKLAN MEMBUNUH.



Assalamualaikum..

Mari kita layankan sekejap iklan 'straight forward' yang sungguh memang membunuh.


MEMO : IKLAN SEMUA NI KHUSUS BUAT KEMPEN BERHENTI MEROKOK. JADI PARA PEROKOK TEGAR, HARAP BERSABAR.

TIDAK DISARANKAN KEPADA MEREKA YANG MEMPUNYAI LEMAH JANTUNG.




















BETUL, KITA SEMUA AKAN MATI. TAPI APA USAHA KITA UNTUK LEBIH MEMANJANGKAN UMUR YANG TUHAN BERIKAN & MENSYUKURI NYAWA YANG DIKURNIAKAN?

MOGA ANDA MAMPU MENGUBAHNYA.

WASSALAM.

Isnin, 6 Disember 2010

Tahun Baru : Ikutlah kalendar Islam.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Assalamualaikum..

Esok, 07 Disember , bersamaan 1 Muharram 1432.

SALAM MAAL HIJRAH, SELAMAT TAHUN BARU buat semua sahabat pembaca yang disayangi tuhan.

Saya percaya masih ramai dikalangan kita yang memandang biasa-biasa tahun baru Islam ini. Tahukah kita Kalendar Islam adalah kalendar yang paling tepat dalam pengiraan hari setiap tahun?

Kenapa kalendar Islamlah yang paling tepat? Menjawab persoalan ini, mari kita lihat sejarah asalnya.

Ketika Khalifah Saidina Umar Bin Al-Khattab r.a telah berunding dengan beberapa penasihatnya, akhirnya diputuskan untuk menggunakan tahun dimana Rasulullah S.A.W berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah sebagai awal permulaan perhitungan calendar Islam.

Hijrah Rasulullah ini memberi momentum yang mewakili ‘era baru’ dalam kebangkitan Islam, membangunkan asas mental dan spiritual yang masih kita rasai hingga hari ini.

Para solihin mengajarkan kita untuk berdoa menjelang pergantian tahun. Dibawah ini adalah doa akhir tahun, dan doa awal tahun.

DOA AKHIR TAHUN : [klik untuk besarkan gambar]

Doa ini dibaca tiga kali [3x] menjelang akhir tahun baru islam. Boleh dilakukan sesudah Asar atau sebelum Maghrib pada 29 / 30 Dzulhijah.

Dengan doa ini, kita memohon ketika kita akan mengakhiri perjalanan tahun yang akan ditinggalkan ini mendapat keampunan Allah, atas semua perbuatan kita yang mendatangkan kemurkaanNYA.



DOA AWAL TAHUN : [klik untuk besarkan gambar]



Sungguh, betapa Indahnya Islam, mengatur kita dalam semua keadaan, dari hal sekecil-kecil perkara, hingga sebesar-besarnya perkara. Semua ada adabnya, semua ada panduannya. Indah, sungguh indah.

MEMO : Allah sukakan hamba yang selalu mengadu padaNYA, yang selalu berdoa memohon ampunanNya. Mudah-mudahan kita sentiasa memohon keampunan Allah, berdoa setiap waktu, tidak mengira tempat dan apapun majlisnya. Doa adalah senjata orang Mukmin, jangan tinggalkan senjata itu dibelakangmu, bawalah ia didalam hatimu.

WASSALAM.

UJIAN ITU NIKMAT



Assalamualaikum..

Buat semua pembaca yang disayangi, moga kita sentiasa dalam keadaan yang baik-baik saja ya! ^_^.
Buat yang pertama kali datang ke sini dengan sengaja atau tanpa sengaja, terima kasih diucapkan, moga selepas pembacaan kalian, ada ‘input’ baru yang mampu mengubah sekecil apapun dalam kehidupan kalian untuk menjadi muslim yang baik, InsyaAllah.


Sahabat, Cinta, Ujian, dan Ikhlas.
Semuanya adalah diantara struktur yang menjadi elemen dalam kehidupan manusia.


Sahabat, betapa ramai sahabat yang kita punyai, namun saat-saat genting nanti, kita akan lebih mengenali siapa sahabat sebenar kita. Tiada siapa yang mampu tinggal dibumi ini tanpa sahabat. Bersahabat dan berhubungan sesama manusia itu adalah fitrah tiap makhluk. Sahabat adalah insan yang terdekat dengan kita selepas keluarga kita, dan ada juga sahabat lebih dekat dengan dirinya, berbanding keluarga sendiri. Namun sejauhmana kita memiliki sahabat yang sebenarnya sahabat?





Cinta,
betapa ramai manusia yang membuang ibubapa, membuang keluarga demi memenangkan cinta. Seolah cinta itulah yang segalanya. Kisah hidup kita tidak seindah kisah cinta yang dicanang dalam filem Hindustan, sahabatku. Adakalanya kita terlalu mencintai orang itu, hingga kita menjadi buta hati dalam menilai sesuatu kebenaran.



“Bagaimana caranya kita nak tahu, orang tu betul-betul ikhlas cintanya kepada kita?” suatu petang setahun yang lalu saat berdiskusi tentang cinta, sahabat saya melontarkan persoalan yang mungkin juga sebagai topik perbincangan.

Saya mentah dalam soal cinta, saya tidak mempunyai kisah cinta yang hebat-hebat untuk dijaja kepada orang lain. Saya juga sedang mahu meraih sayang dan cinta. [ Ini bukan iklan cari jodoh okeh! ^^,]

“Cinta, Ikhlas.. duanya adalah misteri. Cintailah seseorang itu seadanya dia, teruskanlah niat yang baik itu jika cinta itu mengarahkanmu lebih mendekatkan cintamu buat tuhan. Tapi, jika cinta itu membuatmu jauh dari tuhan, redhalah untuk melepaskan cinta itu pergi, kerana mungkin cinta itu akan membunuh hubunganmu dengan tuhan.”

Betapa ramai dikalangan kita terlalu mencintai manusia melebihi cintakan Tuhan. Betapa syiriknya hati itu tanpa sedar. Betapa ramai yang menggadaikan cinta buat Tuhan untuk meraih cinta dan perhatian manusia. Betapa ramai yang sanggup berkorban nyawa, membazirkan air mata untuk mendapat cinta manusia, yang tidak berhak untuk memilikinya. Ada juga yang sanggup membalas dendam kerana tidak berjaya memiliki orang yang dia sukai. Bila hati sudah dirasuk dan dihasut dengan bisikan syaitan, dia tidak akan pernah puas selagi orang itu tidak merasa sengsara. Moga terlindung daripada menjadi seperti ini.

Cinta yang sebenarnya cinta, adalah jika dia lebih mendekatkan kita kepada pemilik segala cinta.

Cinta yang sebenarnya cinta, adalah apabila kita berani untuk menghadapi kedatangannya, dan berani juga untuk melepaskannya.

Cinta itu tidak pernah berlebihan, cintai manusia sebaiknya, raihlah sayang Tuhan sesungguh-sungguhnya. Andai ditakdirkan si dia bukan tertulis di loh mahfuz buat kita, terimalah dengan redha. Redha itu memerlukan usaha. Usahalah untuk berlapang dada dalam menerima ketentuan itu. Walau pahit dan terlukanya perasaan, yakinlah Allah tidak menjadikan tiap sesuatu dengan kebetulan, semuanya pasti ada sesuatu yang Allah mahu ajarkan buat kita.



Hidup adalah ujian. Ujian tidak bermakna hanya kesusahan dalam hidup. Sedang kaya, mudah, susah, bahagia, derita, sakit, sihat, kenyang, Lapar, sempit, lapang, semuanya adalah ujian. Susah senang itu adalah ujian. Betapa lebih ramai yang lulus dalam ujian kesusahan, tapi sangat sedikit yang lulus apabila diuji dengan kesenangan. Ujian itu adalah nikmat sahabatku.

                  Ujian itu Nikmat. Seperti makanan.
Makanan itu tidak bermakna dan tiada gunanya jika tiada ujian lapar.
Makanan yang sedap itu juga sudah tidak terasa kelazatannya jika perut sudah kenyang. 
Maka, ujian itu membuahkan nikmat.
Sebab itu, Ujian itu Nikmat. Nikmat itu juga menjadi Ujian. Maha bijaksananya Allah.

Ujian yang mendatangi kita adalah tapisan. Tapisan untuk kita menjadi manusia yang berkualiti dalam meneruskan kehidupan.

Tapisan?

Ya, tapisan. Pernahkah kita terfikir, saat kita difitnah manusia, saat kita dihinakan manusia, siapa lagi sahabat-sahabat yang akan terus disisi kita, terus menyokong kita, terus mempercayai kita?
Berapa ramai juga sahabat-sahabat yang sangat rapat dengan kita, meninggalkan kita hanya sebab-sebab tadi? Mereka tidak mengadili kita sebaiknya.
Di situ juga Allah sudahpun memberikan kita satu pelajaran. Pelajaran untuk memberikan kita ilmu dalam mengenali sahabat. Allah sayangkan kita. Justeru itu, DIA tidak mahu kita tersilap dalam memilih sahabat.


Sabarlah jika kita ditimpakan dengan ujian dalam kehidupan, sedang hidup ini juga adalah ujian yang tidak akan pernah berakhir, kerana akhirnya semua ujian ini apabila kita meninggal dunia. Maka tiada usaha lain untuk kita berjaya di akhirat, selain di dunia ini.

Bersabarlah buat yang sedang teruji. Sungguh semua ujian ini ada akhirannya, pasti akan berlalu. Kuatkan semangatmu, Yakinlah Allah tidak menjadikan semua ini dengan sia-sia. Banyakkan pengaduan kepada tuhan, ketenangan itu ada di situ. Jadikan sedih itu sebagai jambatan untuk mengubah diri dan lebih mendekati cinta Tuhan. Allah itu dekat. Lebih dekat dari urat leher kita sendiri.

IKHLAS. 

Betapa ikhlas itu dalam rahsia Allah. Hanya Allah yang tahu letaknya ikhlas itu dimana, kerana nilaian Allah tidak sama dengan Nilaian manusia. Sedang kita merasa ikhlas itu juga belum lagi ikhlas, Wallahu’alam, Ikhlas itu milik Tuhan, Ikhlas itu kepunyaanNYA.
Sahabatku, bersabarlah jika di uji dengan kerenah manusia yang mendatangkan kemarahan kita, atau mencabar kesabaran kita. Kuatkan tawakkal dan pergantungan hati kita kepada Allah. Allah itu Maha Adil, mintalah kepadaNya, Dia maha mendengar, Maha melihat, Maha mengetahui, Maha memahami. Jiwa tiap makhluk itu dalam genggamannya. Bila kita serahkan semuanya pada Allah, ujian tadi akan menjadi terlalu kecil jika dibandingkan dengan rahmat dan kasih sayang Allah.

Sedang ujian itu tanda Sayang Allah buat Kita. Balaslah panggilan sayang Allah itu dengan redha dan rasa syukur, selepas ujian kesusahan itu berlalu, kita akan menilai bahawa kita telah belajar sesuatu yang baru daripadanya. Jangan mengeluh dan putus asa dengan rahmat Allah.

Kita perlu kuat untuk hadapi ujian kehidupan. Ingat kata-kata saya, Ujian itu adalah penapis. Penapis untuk kita dapatkan yang terbaik dalam kehidupan. Moga kita terus menjadi muslim yang terbaik, dunia &Akhirat.Amin!

Wassalam.
ijja1912

Ahad, 5 Disember 2010

AURAT, TIDAK SEKADAR BERTUDUNG.





Assalamualaikum..

An-Nur ayat ke 31 yang bermaksud:

‘Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.’



Kawan-kawan, memakai tudung kepala belum melengkapi syarat aurat kita sudahpun terpelihara, jika pakaian yang dipakai kita berlengan pendek, jarang dan nipis, ketat dan menarik perhatian untuk dilihat. Ini bukan menutup aurat, tapi membungkus aurat.

" Pakai tudung labuh-labuh pun, belum tentu baik, buat maksiat juga, bagus kami lagi walaupun berpakaian macamni [seksa seksi], hati kami baik, kami tetap solat juga. Solat tak pernah pun kami tinggalkan.." Ini ungkapan yang pernah saya dengar.

" Janganlah nilai kami dari luaran, hati kami baik, walaupun kami sosial" Ini ungkapan segelintirnya pula.

" Alaa..nantilah saya nak pakai tudung, hati saya belum terbuka, daripada saya kejap pakai, kejap bukak, lebih baik saya tunggu hati saya betul-betul bersedia untuk konsisten memakai tudung"

Alhamdulillah, masih diizinkan Tuhan untuk terus menulis di sini.

Kawan-kawan seagamaku, sejantinaku, sungguh saya menyayangi kalian.

Hati yang baik hanya akan mengeluarkan yang baik. Ibarat Cerek air, ia hanya akan menuang apa yang ada di dalamnya ke dalam cawan. Apa yang kita lihat di dalam cawan, itulah apa yang ada di dalam cerek tadi. Hati manusia begitu dianalogikan. Hanya hati yang terpimpin dengan hidayah akan merasainya.

Hati terbuka untuk bertudung, semua itu hanyalah alasan yang kita ciptakan. Sedang hidayah sudah terbentang didepan mata, tinggal kita yang mahu atau tidak untuk cuba dan mula mengubah diri untuk menjadi hamba yang lebih baik.

Meminjam kata-kata Dr.Faizal Musa [Faisal Tehrani] :

"IBARAT CAHAYA, IA TAK MENYAPA KAMAR YANG TIDAK DIBUKA JENDELANYA"

HATI kita ibarat jendela, jika kita tidak pernah membukanya, bagaimana bisa cahaya akan masuk ke hati kita? selagimana kita terus memenangkan hawa nafsu, selagi itulah tiada apa-apa yang akan berubah hari ini atau di masa akan datang..


Bersyukurlah selagimana kita masih mampu membuat amal kebaikan, sebelum Allah menarik balik tiap kurniaan ini daripada negara ini. Tidakkah kita mengambil iktibar betapa terdapat di negara lain Hijab dan pakain yang menutup aurat diharamkan? Tahukah kita betapa ramai rakan seagama kita berjuang habis-habisan untuk menuntut hak agar tidak disekat kebebasan bertudung? Betapa bertuahnya negara ini.

Sesuatu yang indah, sembunyikan ia. Ibarat gelang emas, jangan dedahkan ia di khalayak ramai jika tidak mahu disamun dan dirompak.

Untuk Semua Kita.. peringatan yang sangat baik, renung-renungkan :



Jom sama - sama usahakan untuk menjadi muslimah yang hebat dan Berkualiti.
Wassalam.

Ijja1912

Shaklee Ready Stock Sabah

Assalamualaikum dan selamat pagi.. Moga hari ini lebih baik dan bermakna dari hari-hari yang lepas Hari ini sekadar mau update stok ready...