Selasa, 18 Februari 2014

Restoran Melayu, Restoran Mamak


Entri ini ditulis, selepas sekian lama memerhati, dan ianya berdasarkan pengalaman.

Kenapa restoran Mamak kadang dan selalunya lebih penuh pelanggan berbanding Restoran Melayu?  Saya ini bukanlah pelanggan tegar Restoran Mamak, bahkan sangat jarang masuk. Jika masuk juga, itu maknanya keadaan sudah memaksa, atas beberapa keadaan.  Contohnya mungkin berhenti di mana-mana perhentian atau di sesuatu tempat (Lewat malam atau menjelang dinihari) tetapi tiada restoran Melayu yang buka. Maka restoran Mamak adalah pilihan yang terakhir. Bukan apa, cuma perut saya sedikit sensitif apabila makan masakan Mamak. Bukan sekali dua, tetapi acap kali apabila balik sahaja daripada Restoran Mamak, perut mesti memulas-mulas.

Menu paling selamat yang saya makan di restoran mereka hanyalah dalam kumpulan Roti sahaja. Roti Canai, Roti Nan, dan jenis lainnya. Cuma apa yang paling saya suka di restoran Mamak ini adalah servisnya. Rata-rata kedai mamak yang pernah saya datangi, selalunya servisnya laju, cekap, dan pantas.

Contoh keadaan: 

Kita baru keluar kereta, sedang menuju ke dalam restoran mereka, mereka terus menuju ke arah kita, belumpun sempat berfikir dimana hendak duduk, mereka akan automatik tanya,

"Minum apa kak, abang?, semua ada." 
(Walaupun kami tak pernah jadi adik beradik kandung. Ikut mazhab bisnes Bahasa Melayu Tinggi-BMT, panggilan yang tepat untuk orang yang tidak kita tahu statusnya hanya:

1- Tuan / 
2- Puan /
atau 
3- Cik Puan (Untuk status yang tidak kita tahu samada sudah berkahwin ataupun belum)
-Eh, sempat lagi kuliah BMT…

Selepas pesan makanan dan minuman, saya selalu kira masa diambil untuk minuman sampai adalah dibawah 2 minit. Terbaik!

Makanan pula mengambil masa dalam 5 ke 10 minit jika Roti Canai, dan bergantung kepada ramainya pelanggan pada waktu tersebut.

Saya perhatikan juga, pekerja mereka semuanya dalam keadaan berdiri, jarang nampak yang duduk senang lenang, ber-sms, atau sibuk dengan telefon bimbit.  Keadaan berdiri itu menunjukan mereka sentiasa bersedia untuk segera ke meja pelanggan jika dipanggil.

Restoran Melayu:

Jika ikut tekak, saya lebih suka masakan melayu.  Tetapi acapkali servisnya yang lambat, membuat saya merasakan itulah kunjungan pertama dan terakhir. 

Bayangkan sahaja pelanggan datang membawa perut yang lapar. Pelayannya pula kadang-kadang tidak menghiraukan pelanggan yang masuk. Ada yang masih terus bersembang, terus leka dengan telefon bimbit, paling teruk ada yang sedap tidur. 

Perut pelanggan yang sedang lapar, bertambah pedih dan ditambah pula dengan rasa sakit hati. 

Pernah terjadi, saya dan suami melangkah ke sebuah restoran Ikan Bakar di Bangi (Nama restoran dirahsiakan). Semasa kami sudah duduk, pelayan lelaki datang ke arah kami selepas beberapa minit. Cara jalan sahaja seperti malas-malas. 

"Dah ambil 'order'?"
Apa yang saya perasan, pelayan lelaki itu duduk dihadapan kedai tadi, dan memang nampak kami baru masuk. Apabila sampai ke meja kami, ditanya pula kami soalan begitu.  Hmmm~~~

Selepas memesan minuman. Saya kira-kira, ada dekat 4 minit barulah minuman sampai.

Semasa mahu membayar pula, tiada pekerja menjaga dikaunter. Terpaksa lagi dipanggil. 
Aduh.. satu demi satu….

Saya kira pemilik restoran Melayu perlu peka dengan keadaan begini. Jangan susahkan pelanggan. Pelanggan itu ibarat tetamu. Satu demi satu kesusahan pelanggan lalui. Perbaiki S.O.P ('Standard Operation Procedure') agar lebih tersusun.  Sesuatu yang buruk sering menjadi punca pelanggan trauma untuk datang semula. Jika beberapa orang pelanggan hilang sehari, setahun sudah berapa, banyak kerugiannya. Akhirnya restoran Melayu satu demi satu bungkus tikar.  Bukan kerana makanannya tidak sedap, tetapi hanya berpunca daripada kualiti servisnya yang teruk dan menyusahkan pelanggan.

Bayangkan pemilik adalah pelanggan, layanlah pelanggan sebagaimana kita suka kita dilayan, bahkan layan dengan lebih baik lagi, tiada apa ruginya…

SOP paling cantik, yang pernah saya alami adalah semasa pertama kali mengunjungi Little White Cafe Bandar Baru Bangi. Pemiliknya bagus. Pemilik kafe ini adalah Melayu, pasangan suami isteri.



Layari Facebook mereka untuk lebih maklumat dan gambar:  Little-White-Cafe 

Kita sampai sahaja, dibukakan pintu, dilemparkan senyum, dan dipersilakan duduk dimana-mana meja yang kita suka. Semasa kita melihat menu, pemiliknya sendiri akan menerangkan kepada kita menu apa yang terbaik dan menu apa yang ada, dan akan menjawab setiap pertanyaan kita.
 
Kualiti makananpun memang sedap. Ditambah pula 'ambience' yang luarbiasa boleh melekat didalam memori. 

Ada satu insiden, dimana kami sedang makan, tiba-tiba ada seorang lelaki berjubah putih dan berkopiah, masuk memberi salam. Kami ingatkan dia adalah pengunjung juga, tiba-tiba sampai sahaja dimeja kami, dia katakan mahu mengutip derma. 

Sedikit kaget, kerana pada waktu itu, 'feel' kita sudah rasa macam pergi ke kafe  luar negara (dekorasi dalamannya yang berkonsepkan Inggeris/American), baru sahaja suami hendak buka dompet, pantas pemilik kafe datang kearah lelaki tadi, dan mengajaknya keluar daripada kedai. Sempat kami menangkap kata-kata pemilik kafe, katanya,

"Please, do not disturb our customer", sambil beliau mengeluarkan duit kertas daripada dompetnya sendiri dan menghulurkan kepada lelaki berjubah tadi. 

Kami tergamam, dan rasa sangat 'secure'. Bukannya tidak suka mereka yang meminta derma ini, cuma adakalanya selera makan tiba-tiba boleh terganggu jika tidak kena keadaannya.  Tindakan pemilik kafe tadi, benar-benar menyelamatkan keadaan, dan saya belum pernah jumpa keadaan begini di restoran-restoran melayu yang lain. Ini kali pertama.

Saya kira, pemilik kafe tadi berbuat demikian adalah mahu menjaga mood dan situasi pelanggannya. Terbaikkan?

Saya ada pautkan sekali Facebook 'Little White Cafe' jika anda sendiri mahu rasakan kelainannya. Memang hilang 'stress' apabila keluar sahaja daripada cafe tersebut, terasa seolah-olah baru balik daripada 'travel' luar negara… 

Tidak hairanlah jika harga makanannya mahal sedikit, kerana mereka menjual 'experience' kepada pelanggan. 

Mode : Saya sudah terasa rindu hendak ke cafe tersebut… :'(




Jumaat, 14 Februari 2014

+ Filem : Pencari Jalan Lurus


Entri kali ini pendek sahaja. Cuma hendak berkongsi satu filem yang bagus. Tanpa adegan sentuh-sentuhpun…

Filemnya ringkas sahaja, tetapi twist cerita agak menarik.

Saya tidak mahu komen panjang-panjang, tontoni sendiri dan nilai sendiri. :)


http://www.youtube.com/watch?v=7LXym0DuOiA

Rabu, 12 Februari 2014

+ Entri panjang: Pengalaman Bersalin - Hospital Serdang



Apabila kandungan kedua ketika ini memasuki fasa trimester kedua, semakin banyak pautan blog, artikel tentang kelahiran, saya baca semula. Untuk refresh persediaan kelahiran nanti. Meskipun kandungan kali ini adalah anak kedua, artikel tetap dibaca untuk menambah ilmu dan mengelakkan masalah dimasa hadapan.  Debaran menanti kelahiran bukan sahaja dirasakan kepada ibu yang mengandung kali pertama, bahkan mereka yang sudah anak kedua, ketigapun jika mengandung lagi, nervous tu tetap ada, kan? hihihi.

Satu hutang tulisan yang belum saya lunaskan hingga ke hari ini ialah menulis tentang pengalaman melahirkan Fawwaz. Fawwaz sudah masuk 2 tahun 23 hari (baru nak update?)Hohoho.. Tulisan di blog ini  hanyalah sekadar untuk tatapan peribadi dimasa hadapan, boleh juga sebagai rujukan kepada bakal ibu baru, moga mendapat manfaat sedikit sebanyak dari sini.

Saya akan tuliskan semula semua detik-detik kelahirannya. Semasa mengandungkan Fawwaz, saya dan suami masih tinggal di Taman Kajang Impian, Selangor.  Sebelum melahirkan lagi, saya sudah membaca beberapa ulasan pengalaman daripada ibu-ibu yang lain, hospital manakah yang terbaik untuk proses kelahiran.  Ada beberapa pemilihan hospital ketika itu:


1- Hospital Putrajaya
2- Hospital Serdang
3- Hospital Kajang.

*Sedikit tambahan info : Caj bersalin Hospital Serdang:

Sumber daripada web hospital Serdang : http://hserdang.moh.gov.my/ms/awam/caj-bayaran/caj-bersalin.html
Semasa saya discaj dulu, caj yang dikenakan ialah RM63.80


Ketiga-tiganya adalah hospital yang terdekat dengan rumah. Mudah jika ada hal kecemasan. Hendak berulang alik mudah. Diringkaskan kisah, saya susun semula mengikut kronologi.

Pagi, 19.01.2012 :
- Sempat buat sarapan untuk suami sebelum ke tempat kerja. Selepas itu, sempat lagi mop lantai ruang tamu, bilik tidur, hinggalah ke ruang dapur.  Saat itu saya dapat rasakan kontraksi sudah ada. Pinggang terasa sakit-sakit, selang beberapa minit, perut terasa mengejang. Saya memujuk hati tiada apa-apa yang berlaku memandangkan  mengikut tarikh jangkaan bersalin pada buku merah adalah 01.02.2012. (Ini bukan pujuk, tetapi 'nervous' sebenarnya. Kali pertama, pelbagai rasa dirasakan.)



Masuk ke bilik air, ada sedikit tanda pendarahan. Saya kaget. Cemas seketika. Langsung saya hubungi kakak saya yang berada di WP Labuan, memandangkan dia jururawat di hospital Labuan.

"Dik, pergi hospital teruslah, jangan tangguh-tangguh" Kak Ati menjawab ditalian.
"Kalau pinggang dah rasa sakit-sakit, ada kontraksi, mau bersalin sudah tu" sambungnya lagi.
"Ok kak, ok, kami ke hospital lepas ini."  Saya menjawab ringkas.

Usai menelefon kak Ati, terus hubungi suami. Suami diberikan cuti seminggu.  Mak mertua dan keluarga suami juga sudah dimaklumkan. Keluarga saya di Sabah juga sama, memohon doa daripada jauh agar semuanya berjalan dengan selamat.  Bersama-sama beg kelengkapan bayi dan beg kelengkapan peribadi sendiri, kami terus menghala ke hospital Serdang. Entah bagaimana saya terdetik mahu kesana. Ikut naluri sahaja, tidak sempat nak fikir-fikir lagi.

---------------------------------
Hospital Serdang :

Cari bangunan Dewan Bersalin. Dewan bersalin, bangunannya di sebelah kiri bahagian pintu masuk, kira bangunan pertama yang kita akan lalu sebelum bangunan seterusnya. (Ada signboard besar tertulis - Dewan Bersalin) 

Memandangkan hospital Serdang sentiasa penuh tempat letak keretanya, suami menurunkan saya di hadapan pintu utama terlebih dahulu, sebelum mencari tempat parkir yang sesuai. Saya terus masuk dan duduk di ruang menunggu memandangkan kaunter pendaftaran juga penuh dengan  pasangan yang sedang menguruskan pendaftaran. Saya melihat sekeliling, agak ramai. Dalam hati terus berdoa agar Allah mudahkan urusan semuanya. Mengikut pembacaan reviu di blog ibu lain sebelum ini, wad bersalin Serdang memang sentiasa penuh.

Suami sampai sahaja, dia terus ke kaunter pendaftaran untuk mendaftarkan nama saya, memandangkan pasangan sebelum ini baru sahaja selesai mendaftar. Sambil menunggu giliran, saya menahan rasa kontraksi. Sakit itu datang dan pergi bersilih ganti.  Selang dalam 40 atau 35 minit rasa itu datang semula. Mata hanya terkejip menahan rasa sakit. Dalam hati terus berzikir.

Hampir 50 minit berlalu, barulah nama saya dipanggil. Dengan rasa berdebar dan rasa lain yang berbaur, melangkah juga ke dalam satu bilik khas yang terletak di sebelah kaunter hadapan, jururawat kata hendak periksa bukaan. Memandangkan ini pengalaman pertama bersalin, saya tidak dapat membayangkan secara pasti bagaimana ia akan dilakukan. Oh ya, saya terlupa, semasa mendaftar tadi, jururawat ada pesan untuk bawa kain batik/kain sarung sekali apabila nama dipanggil. 

Sebelum bukaan rahim diperiksa, terlebih dahulu saya diminta untuk menyalin kain batik. Jururawat membawa saya ke katil kosong yang disediakan. Dalam bilik itu ada beberapa lagi katil lain, ada perempuan Arab, Melayu, dan Cina. Pemisahnya hanya langsir berwarna merah jambu. Sambil membaringkan badan, telinga saya cepat menangkap beberapa suara erangan menahan kesakitan kontraksi. Seriau sekejap saya rasakan.

Jururawat tadi terus mengimbas (scan) kandungan untuk melihat kedudukan bayi dan denyutan jantung bayi. Selepas itu memaklumkan dia akan periksa bukaan pintu rahim (Vagina examination - V.E).

"Tahan sikit ya puan, akan sakit sedikit ni" Jururawat itu memaklumkan sebelum memulakan prosedur.
Saya hanya mengangguk. Pasrah. Saya hanya mengacip gigi, mata terkejip sedikit, menahan sakit. Nasib baiklah sekejap sahaja.

"Baru 3 cm ni, biasanya kita akan tunggu sampai 9 atau 10cm barulah tolak ke 'labor room'." Jururawat memaklumkan sambil membuka sarung tangan.

"Oh, saya perlu tunggu dahulu atau macamana?," Saya meminta kepastian.

"Sekejap lagi saya maklumkan, saya tanya doktor dahulu." Jururawat tadi berlalu ke bahagian kaunter dalam bilik tersebut. Saya duduk di barisan kerusi berdekatan kaunter. Sambil memerhatikan dua orang doktor yang saya kira masih fresh dan seorang lagi doktor senior, sedang berbincang sesuatu mengenai masalah seorang ibu mengandung disitu.

"Puan Khatijah…," Mendengar nama saya dipanggil, saya bergegas ke kaunter. 

"Puan boleh balik rumah dahulu, sebab bukaan masih awal. Biasanya anak sulung jarak bukaan memakan masa sedikit lama, jangkaan dalam 1cm setiap sejam, ada yang lebih lama daripada itu. Wad bersalin pula masih penuh". Jururawat tadi menerangkan panjang lebar. (Saya lupa namanya siapa)

Saya mengangguk tanda faham, selepas mengucapkan terima kasih, saya menemui suami yang menunggu di luar. Ibu dan ayah mertua juga sudah sampai. Dari jauh mengukir senyum, kandungan kali ini adalah cucu pertama buat keluarga suami.

"Macamana? belum boleh bersalinkah?," suami menyoal dengan nada sedikit gusar.

"Nurse bagitau, kena balik rumah dahulu. Bukaan pintu rahim masih awal. Lagipun wad bersalin penuh." Saya jawab perlahan sambil senyum pahit.

"Nak balik terus atau macamana?" Suami soal saya balik.

"Entahlah, rasanya tunggu sahaja disini sampai petang, kalau tak rasa sakit sangat sampai petang ini, kita balik sajalah dahulu." Saya menjawab ikut rasa-rasa. Memandangkan diri sendiri juga susah menjangka keadaan, memandangkan ini pengalaman pertama.

Ibu mertua membawa sekali air selusuh. Ibu mertua pesan supaya minum sekejap lagi. Memandangkan saya belum bersalin, ibu dan ayah mertua meminta diri dahulu, dan berpesan jika ada apa-apa maklumkan sahaja kepada mereka. Mereka terpaksa meminta diri awal kerana ada urusan yang perlu dibereskan.

------------------------------
Kafeteria Hospital Serdang.

Perut mula berkeroncong, selang seli dengan kesakitan kontraksi. Masih berselera untuk makan. Selepas makan, saya teguk air selusuh yang dibekalkan. Harapan agar bersalin dengan lancar, mengharap bantuan daripadaNya. 

Masuk sahaja waktu Asar, kami terus ke surau untuk solat. Usai solat, saya semakin rasa sakit. Kontraksinya tetap dan selang beberapa minit sahaja. Berjalanpun sudah terasa sakit-sakit. Terasa seperti kepala bayi berada dihujung-hujung sahaja. Sudahnya suami meminjam 'wheelchair' di bahagian kaunter hadapan pintu utama Hospital Serdang. Menggunakan wheelchair, suami menolak saya sedikit laju, risau melihat keadaan saya yang sudah tidak keruan.
-------------------------
Kaunter Dewan Bersalin

Menunggu semula nama dipanggil & dan selepas itu masuk semula ke bilik tadi untuk VE.

"Sudah 5cm puan. Tetapi puan perlu tunggu juga dahulu di kerusi luar sehingga betul-betul terasa hendak bersalin ya. Jika tidak dapat tahan, barulah masuk semula kesini. Mungkin selangnya memakan masa dalam 4 atau 5 jam lagi"

Saya mengangguk lemah. Mendengar jangkaan 4 dan 5 jam itu terlalu lama, menanggung pula rasa sakit kontraksi. Penantian satu penyeksaan. Sakitnya rasa nak bersalin begini. Terkenang betapa besarnya pengorbanan mereka yang sudah bergelar ibu. Ini baru anak pertama. 

Saya terkenang emak saya di kampung, melahirkan kami adik beradik seramai 14 orang. Allah, besarnya pahala mama. Banyaknya pengorbanan emak, mengandungkan, melahirkan, menyayangi, membesarkan, mendidik kami adik beradik. Tidak hairanlah jika Allah menganugerahkan pahala yang besar untuk ibu yang hamil dan ibu yang akan melahirkan. 

Air mata bergenang. Terbayang senyum mama dalam ingatan. Sempat lagi melayan perasaan dalam rasa sakit kontraksi.

Telefon saya berdering, Kak Ati menghubungi,

"Dik, sudah bersalinkah?"

"Belum lagi ini. Sakitnya kontraksi ini kak, ada tipskah untuk kurangkan rasa sakit ini?"

"Masa rasa sakit itu datang, tarik nafas dalam-dalam dan panjang guna hidung, lepas itu hembus perlahan-lahan melalui mulut.  Nanti masa bersalinpun begitulah teknik untuk meneran bagi bayi keluar"

"O.k Kak, terima kasih."

"Nanti bagitaulah perkembangannya ya. InshaAllah semua o.k tu, fikir yang positif sahaja." Kak Ati menenangkan rasa gusarku.

Air mata mengalir perlahan, menahan sakit. Air selusuh diteguk lagi ketika rasa dahaga datang.  Suami sudah tersenguk-senguk di kerusi menahan kantuk. Saya juga rasa sedikit mengantuk, namun rasa sakit yang memerangi diri, membantutkan rasa nikmat tidur. Saya lihat hanya tinggal beberapa orang sahaja di kerusi menunggu. Satu demi satu nama suami kepada pasangan yang bersalin dipanggil dan diarah memakai baju putih. Hospital Serdang ini, seronoknya satu lagi ialah suami boleh temankan isteri di dalam 'labor room'. Semangat sikit hendak meneran nanti. :)

Menjelang pukul 10.45 malam, sakit sudah terasa sangat sakit. Saya teruskan dengan tips Kak Ati berikan tadi, sedikit sebanyak memang mengurangkan rasa kontraksi.

Tidak dapat bertahan lagi, saya maklumkan pada suami, saya hendak jumpa nurse untuk periksa semula bukaan.

Sampai di kaunter bilik bahagian dalam, tiada sesiapa di kaunter. Saya menekan loceng meja beberapa kali, sehinggalah seorang jururawat datang.

"Sakit sangatkah puan?," Jururawat itu bertanya dengan riak wajah yang tenang, tidak cemas atau apa. Sudah terlatih dengan situasi.

Saya hanya mampu mengangguk lemah, sambil memegang perut, langkah kakipun sudah rapat-rapat, tidak dapat membuka langkah panjang seperti biasa. Membuka mulut untuk bersuara juga sudah tidak berdaya.

"Puan baring dahulu ya, saya periksa dahulu."
Jururawat terus membuat VE.
"Sudah 8cm"
Saya sedikit lega. Dalam fikiran ketika ini, hanya mahu bersalin. Terus berdoa agar bukaan bergerak dengan lebih cepat.

Beredar sahaja jururawat tadi, perut terasa semakin sakit, dan terasa betul-betul hendak keluar dah bayi ini.
Saya memanggil jururawat tadi, menguatkan suara supaya kedengaran.

"Puan rasa sakitkah?."
Saya angguk-angguk.
"Saya rasa macam sudah hendak terberanak." lesu saya menjawab. Berbaringpun sudah rasa tidak selesa. 
"Tak dapat tahan lagi?."
Saya geleng kepala.  Jururawat tadi terus memanggil doktor yang bertugas. Doktor terus buat VE. 

"Ok lah, boleh masuk labor room kalau memang rasa nak terberanak sangat." Doktor memberikan arahan kepada jururawat tadi.

Saya diarahkan untuk berpindah ke atas katil beroda. Terus ditolak menuju ke labor room (LR).

---------------------------------------------------
Labor Room (LR)

Duduk sahaja di katil yang boleh dilaras kedudukan tinggi rendahnya, doktor memeriksa bukaan rahim, pada masa itu walaupun bukaan baru 8 cm, saya sudah dapat rasakan pergerakan bayi benar-benar hendak keluar. Saya terdengar nama suami dipanggil, untuk masuk ke LR. Lega apabila melihat suami ada disisi, saat-saat genting begini, kehadiran suami memang membantu dan memberikan satu semangat lain. 

Air ketuban dipecahkan. Diarahkan untuk teran apabila kontraksi itu datang. Semakin kuat kontraksi datang, semasa itulah waktu yang sesuai untuk meneran sekuat hati. Suami genggam tangan saya, dan tidak putus memberikan semangat, suami berpeluang melihat kelahiran anak pertama, setahu saya, suami alah kepada darah. Suami pernah bagitau dulu, dia mesti ada rasa nak pitam bila tengok darah yang banyak. Tetapi syukur kerana tiada apa-apa berlaku saat saya melahirkan. 

"Kuat sikit teran puan, push lagi."
Saya teran lagi, mencuba beberapa kali, kadang nafas terhenti-henti. Nafas terasa terkejar-kejar dengan rasa kontraksi yang datang. Ritma teranannya terasa tidak seimbang dengan kontraksi. Terdetik juga sedikit rasa putus asa, semacam malas hendak meneran, tidak yakin bayi akan keluar, selepas mencuba berkali-kali.

"Push lagi syg, sikit lagi" Suami berbisik di sebelah saya selepas dia melihat keadaan rahim adakah kepala bayi sudah kelihatan atau belum.

"Puan, cuba lagi, jangan lambat-lambat, nanti bayi lemas." Pembantu doktor mengingatkan. Saya cemas sedikit. Memotivasikan diri sendiri untuk membayangkan kehadiran bayi yang dinanti selama ini, membuat saya terus berusaha meneran dan mempraktikkan teknik yang Kak Ati kongsikan melalui telefon. Apabila kontraksi semakin pendek-pendek, mengambil nafas dan hembus juga jadi begitu, menjadi tarikan nafas pendek-pendek, menghembus nafas pula perlu sedikit kuat agar bayi tertolak keluar.

"Puan, punggung jangan angkat, nanti koyak, terpaksa jahit" Pembantu doktor menahan pinggang dan membetulkan semula kedudukan saya. 

Sayapun tidak pasti bagaimana keadaan punggung terangkat atau tidak dalam keadaan menahan sakit begitu, semua keadaan saya rasakan sama sahaja. Saya hanya fokus untuk keluarkan bayi ini sahaja.  Sakit bersalin hanya wanita yang merasakan betapa azabnya.

Suami tidak putus memberikan dorongan, setiap kali memandang wajahnya, semangat datang semula, entah daripada mana. Terasa ada kebersamaan dalam melalui detik sukar.

Selepas mencuba dan meneran lagi dengan bersungguh-sungguh, alhamdulillah, akhirnya bayi saya berjaya dan selamat dilahirkan.

11.46 malam, 19.01.2012, Berat 2.96kg. Mengambil masa selama 8 minit bayi keluar, 8 minit itupun saya rasakan sudah cukup lama. Oh!

Semasa doktor menyambut bayi, sempat saya menangkap doktor berkata kepada pembantunya : 

"He is not crying", sambil dia menampar lembut punggung bayi. Beberapa saat kemudian, barulah kedengaran suara tangisan bayi. Huhu, cemas sekejap.

Pembantu doktor berdiri di hadapan saya, "Puan, cuba tengok ni, lelaki atau perempuan?."

Dalam keadaan longlai, dan hanya sedikit tenaga yang bersisa, saya menjawab lemah, 
"Lelaki."
Senyuman terukir saat melihat wajah bayi yang dilahirkan. Terasa nikmat dan indahnya saat bersalin, meskipun diawali dengan rasa sakit kontraksi yang kuat dan hebat.  Hilang semua rasa sakit, terbang begitu sahaja berganti pula dengan rasa damai dan tenang.

Bayi diserahkan pada suami untuk diazankan dan diiqamatkan. Sayu bercampur ria taktala mendengar suara suami melaungkan kalimah suci pertama di telinga bayi. 'Alhamdulillah, terima kasih ya Allah.' Hati berbisik perlahan.

"Terima kasih sayang, abang tunggu diluar ya." Suami tersenyum dan melangkah keluar, kerana selepas habis sahaja proses bersalin, suami diminta untuk menunggu diluar sehinggalah nama akan dipanggil semula.

----------------------------------
Pengalaman menyusukan bayi kali pertama

Selepas bayi dibersihkan & dimandikan, penolong doktor tadi terus menyerahkan bayi kepada saya untuk diberikan susu. Awalnya rasa tidak yakin bolehkan air susu keluar? Alhamdulillah, berkat pembacaan dan perkongsian ibu-ibu lain di blog, minda kita perlu ready untuk bagi bayi susu, automatik air susu akan keluar. Bayi baru lahir sudah ada deria  dan tahu susu ibu adalah makanannya. Ia fitrah. Ajaibkan, tidak perlu diajar, bayi akan mencari sendiri makanan pada ibunya. :)

Memandangkan Hospital Serdang adalah hospital Rakan Bayi (mengamalkan & menggalakkan penyusuan susu ibu) mereka memang akan terus serahkan bayi kepada kita untuk diberikan susu badan.

Sebelum menyusukan bayi, pembantu doktor tadi sempat membancuhkan saya secawan Milo panas. Memang melegakan, rasa selepas bersalin, kehilangan banyak tenaga. Terasa hendak tidurpun ada.

Bayi tidur dengan lena selepas kenyang menyusu.
Bermulalah satu episod lain, yang saya geruni:
- jahitan episitomi- 

----------------------------
Pengalaman jahitan episitomi pertama.

Memandangkan semasa melahirkan, ada sedikit koyakan, maka jahitan terpaksa dibuat.

Dekat sejam lebih doktor pelatih (pelatih…) menjahit. Walaupun sudah dibius, kengiluannya masih terasa dan Allah sahaja yang tahu, sakitnya bagaimana. Masa menjahit lagi lama daripada melahirkan tadi. Huhuhu!

Saya rasa, dalam banyak episod, episod dijahit inilah yang membuat saya sedikit trauma hingga kini.

-------------------------
Episod yang sedikit tidak disukai.…

Pada malamnya, saya belum boleh dibenarkan keluar daripada hospital, kerana mereka menunggu keputusan doktor, dan menunggu sehinggalah bayi membuang air besar dan kecil. 

Pada malamnya, darah nifas keluar dengan banyak. Pad dicari dalam beg, tetapi malangnya, beg saya yang satu lagi suami saya terbawa balik ke rumah sekali. Haru kalau begini. Jadi pastikan bawa beg seminima yang mungkin ya. Saya bawa beg sampai 2 (satu beg saya, satu lagi beg bayi) suami  terbawa balik beg untuk keperluan saya.

Dengan perlahan-lahan, saya menghampiri kaunter tempat jururawat yang sedang bertugas. (Wad Kelas 3) wadnya bagus, ramai sikit orang, tidaklah sunyi sangat.

"Nurse, ada pad tak? suami saya terbawa sekali beg saya balik tadi" Saya bertanya dengan sopan.

Memandang wajah saya sekilas, dia menjawab pendek,
"Tiada" sambil terus menyambung menulis sesuatu dalam buku rekod.

Saya sedikit hampa. Kembali semula ke katil. Mencari inisiatif lain, terpaksa gunakan towel tebal yang saya ada bawa untuk jadikan solusi. Sedikit sedih, sempat menaip sms kepada suami. Memandangkan waktu melawat sudah lama tamat, lewat pagi pula, saya tidak mahu menyusahkan suami untuk menghantar beg itu semula.

'Tunggu esok sahajalah'. Berdoa yang baik-baik sahaja. Pergerakan saya juga jadi terhad, kerana kurang selesa.

Esok paginya, jururawat lain pula bertukar tugas. Ada yang mengemaskan katil, menukar cadar dan sarung bantal, dan mengambil tekanan darah.

Sampai sahaja di katil saya, jururawat bertugas terkejut kerana cadar saya penuh dengan darah.

"Puan, nanti ambil pad di kaunter situ ya, tembus banyak ni." Jururawat mengarahkan.

Saya berjalan perlahan, dan melihat jururawat lain. Selepas bertanya, pantas sahaja dia mengambil pad daripada laci bahagian bawah meja.

"Aik, semalam saya tanya, nurse semalam jawab tiada?"
Saya bersuara spontan.

Nurse tadi hanya senyum. Senyap, tiada jawapan apa-apa. 
Tanpa menunggu jawapan, saya terus ke bilik air. Menukar apa yang patut, basuh muka dan gosok gigi, terasa suhu sedikit dingin jika hendak pagi-pagi begini.

--------------------------
Jahitan kedua.

Seorang doktor senior, perempuan, datang memantau dari katil ke katil. Sampai giliran saya, doktor tadi terus memeriksa jahitan, dan menekan sedikit  rahim saya untuk memeriksa ada darah lagi atau tidak keluar.

"Sikit ya puan, saya hendak periksa jahitan."
Saya senyap sahaja.

"Ya Allah, jahitan terbuka ni puan…."

Saya dah dapat rasa semasa hendak duduk tadi, terasa jahitan tertarik dan putus. Ngilu…;(

"Siapa nama doktor yang jahit semalam?" Doktor itu bertanya.

"Nama dia, XXXXX" Saya jawab perlahan. Dalam hati dah berdebar. Aduh, nak kena jahit balik ke? saya gusar.

"Hmm, sekejap lagi, ikut saya masuk ke bilik sebelah ya, saya terpaksa jahit semula." Doktor itu bersuara lembut.

"Nak kena jahit semula yea? kalau tak payah tak bolehke?" saya bertanya, macam soalan bonus pula.

"Baik jahit semula puan, sebab jahitan ini tak kemas dan tak kuat, tak berapa betul teknik dijahit. Kalau puan tak jahit balik, nanti saya risau puan sampai kerumah nanti, terbuka pula jahitan yang lain"
Doktor itu seolah memujuk

"Ok, baiklah.." Saya jawab pasrah.
----------------------------

Sesudah bayi kecil saya membuang air kecil dan besar, surat untuk discaj sedang disiapkan oleh jururawat bertugas, saya dibawa oleh doktor tadi ke bilik lain.  Bersama seorang pembantunya, mereka menjahit dengan pantas sahaja.

Ada 3 jahitan. Yang tertanggal hanya satu, tetapi doktor tadi terpaksa menanggalkan semua jahitan, dan membuat jahitan baru. Seksanya tak perlu saya ceritakan, hanya mereka yang pernah lalui sahaja akan maklum rasanya bagaimana.

Saya menggigit kain menahan kesakitan.
Hampir 45 minit berlalu, jahitan selesai. Doktor tu memang baik. 

"Doktor pelatih ini pun, kalau buat kerja, buatlah betul-betul. Cincai. Buat betul-betul kerja, takdelah nak ulang balik kerja ni." Doktor perempuan tadi berkata kepada pembantunya.

"Nak berapa kali repair jahitan, bila begini", sambil doktor tadi mengesat peluh. Memeriksa semula jahitan, selepas diyakini sudah ok, barulah saya dibenarkan untuk keluar.

Suami datang tidak lama selepas itu.
Jururawat datang, membawa surat kebenaran untuk discaj. Alhamdulillah, akhirnya boleh balik, Yayyy!!!

-Tamat-

Update 2019:
Semasa saya melahirkan anak ketiga tahun lepas (1.5.2018) seeloknya jika anda nak minum air selusuh, jangan diminum jika bukaan rahim belum ada/awal. Seeloknya diminum apabila bukaan rahim sudah 8 atau 9cm keatas.

Namun pada tahun lepas (melahirkan anak ketiga) saya langsung tidak menggunakan air selusuh. Alhamdulillah kontraksinya tidak terlalu sakit. Pada masa ini saya hanya ikhtiar menggunakan supplemen set mengandung daripada Shaklee. Jika anda berminat hendak tahu lanjut, boleh hubungi saya - www.wasap.my/601125413089 - ijja

Wassalam.





Shaklee Ready Stock Sabah

Assalamualaikum dan selamat pagi.. Moga hari ini lebih baik dan bermakna dari hari-hari yang lepas Hari ini sekadar mau update stok ready...