Khamis, 27 November 2014

Kisah Cinta dengan Shaklee :)


Secara jujurnya dulu-dulu minda ni sangat negatif dan pesimistik dengan multivitamin /makanan tambahan. Rasa macam banyak menipulah supplement itu  ini dulu-dulu. Tetapi itu dahulu.

Orang tua-tua kata, kalau kita benci atau tak suka sesuatu, jangan benci sangat sebab takut benda itu yang akan buat kita sayang dan suka satu masa nanti...

Kisah jatuh cinta saat kali pertama mencuba produk Shaklee bermula pada bulan Mei 2014 yang lalu.
Pada masa itu saya memang sudah tahu kewujudan Shaklee ini selepas Allah izinkan saya berkenalan dengan seorang sahabat yang saya kenali dengan nama Aza, semasa program Ukhuwah bersama Ustaz Zahazan di Taman Metropolitan Kepong (16 Mac 2013).  Allah maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui.  Tiada yang kebetulan dalam hidup ini, semuanya dalam perancangan Allah...

Masa awal-awal mengenali Aza, beliau memang ada maklumkan yang dia aktif dalam bisnes Shaklee, tetapi hati saya waktu itu masih 'keras' untuk terbuka dan mencuba khasiat produk. 
Dalam minda ni selalu sebut,

"Nanti-nantilah, mesti sama sahaja macam supplemen lain"

2014

Semuanya bermula apabila kandungan anak kedua memasuki usia 5 bulan.
Saya kerap pening, kaki rasa cramp, tapak kaki selalu rasa dingin, lutut kaki kiri selalu kejang hingga ke buku lali, hinggakan kerap tulang pinggang terasa ngilu dan sakit apabila tapak kaki memijak lantai.  Selalu juga jalan terhenjut sebab menahan kesakitan ketika memijak lantai.

Setiap kali ke klinik untuk pemeriksaan antenatal,  bacaan darah (hb=hemoglobin) selalu rendah, berdakwat merah. Puas nurse bagi cadangan suruh makan itu, makan ini untuk tambah darah.  HB tetap tidak naik juga bacaannya.  Akibat HB rendah ini jugalah menyebabkan saya cepat rasa penat, pening bila berdiri lama, adakalanya rasa hendak pitam.

Vita-Lea with Iron Formula, buat saya jatuh suka!

Vita-lea (sebut vaita-Li) adalah vitamin pertama yang buat hati saya berubah, sekaligus menukar persepsi negatif saya kepada supplement selama ini.  Sebelum menjadi ahli Shaklee secara sah, kakak saya juga adalah pengguna produk Shaklee tetapi belum juga menjadi ahli, sekadar makan sendiri sahaja.  Lebihan vitamin Vita-Lea yang ada daripada kakaklah yang saya ambil kerana tidak sempat untuk beli terus di HQ Shaklee.

Hari pertama makan, saya masih rasa lutut bertambah sejuk dan sakit sedikit, namun menjelang tenghari sakitnya hilang. Alhamdulillah, semua dengan izinNya..Badan rasa lebih ringan, kepala kurang pening, dan sakit di lutut beransur hilang.  Pada waktu yang sama saya aktif memasak nasi lemak untuk dijual kepada penghuni sekitar apartment tempat saya tinggal.  Masa tu kandungan sudah masuk 8 bulan lebih. EDD bersalin ialah pada 21.08.2014..

Bacaan HB saya di klinik juga semakin bertambah baik sekalipun belum menjadi dakwat biru. At least ada perubahan.  Nursepun semakin bagi galakan dan tanya saya makan apa untuk naikkan bacaan HB? Saya jawab Vita Lea daripada Shaklee.

Hari-hari berlalu dengan lebih baik saya rasakan, hinggalah satu petang pinggang mula rasa sakit-sakit, sebelum berbuka puasa, saya tergerak hendak ke hospital, tapi hati kecil berkata belum sampai waktunya untuk saya bersalin.  Sempat lagi saya menyempurnakan puasa saya pada hari itu.pada satu malam, perut saya rasa memulas seperti hendak ke tandas, ulang alik ketandas tetapi tiada apa yang keluar.

Pada pukul 12.15 tengah malam, saya terjaga kerana anak yang sulung tiba-tiba menangis, semasa bangun itulah, pinggang dan bahagian bawah perut semakin rasa sakit...terasa seperti hendak bersalin.. baru sahaja 07.07.2014, takkan lah sudah hendak bersalin? Nak berjalanpun rasa macam dah tak larat nak angkat kaki untuk melangkah. Saya gagahkan juga.  Saya buat kiraan berapa kali datang kontraksi, 10 minit-10minit. Tepat.

Saya membawa suami untuk ke hospital malam itu juga. Alhamdulillah kerana perjalanan Allah mudahkan.  Semasa dalam kereta pula, saya buat kiraan lagi, sudah ke 8minit-8minit.  Zikrullah saya teruskan, mohon bantuan Allah semuanya dimudahkan proses.

Sampai sahaja dihadapan hospital SMC, saya paksa kaki untuk melangkah dan bertenang seboleh yang mungkin, suami pula yang lebih kelihatan cemas.  Selepas urusan pendaftaran, saya terus ke bilik penilaian untuk diperiksa bukaan untuk bayi keluar.  Rasa cuak juga sebab di katil sebelah ada ibu yang sedang meng'adoi-adoi' kesakitan kontraksi. Menurutnya, air ketuban sudah pecah, tapi bukaan baru 3cm....Allah...saya doa dalam hati Allah mudahkan ibu itu bersalin.

Sampai sahaja giliran saya, doktor perempuan memeriksa bukaan, selepas itu dia terkejut...

"Ya Allah...!"
"Kenapa doktor?" Saya menyoal tenang.
"Puan ni kerja bahagian perubatan ke?" Doktor tu bertanya saya.
Saya geleng.
"Tidaklah, saya hanya suri rumah dan buat bisnes online sepenuh masa"
"Oh..." Doktor tu menjawab pendek.
"Saya ingatkan kerja bahagian perubatan, sebab bukaan jalan untuk bayi keluar dah 8.5cm dah ni. Puan tidak rasa sakit?"
"Ada, sebenarya daripada petang semalam rasa sakit, cuma gap masanya terlalu jauh, jadi saya rasa baik rehat dulu dan tunggu sampai waktunya dah dekat-dekat dan tidak perlu saya menunggu lama di wad bersalin nanti" Saya jawab panjang lebar.  Doktor tu angguk-angguk..sambil tangannya mencucuk jarum ditangan untuk mengambil bacaan darah.

Air ketuban dipecahkan, dan saya terus dibawa masuk ke dewan bersalin.  Alhamdulillah saya bersalin normal dan mengambil masa 8 minit sahaja untuk melahirkan anak kedua kali ini. Tepat 3.30 pagi, 07.07.2014 bayi perempuan dilahirkan, 2.9 kg. Alhamdulillah, paling best bersalin kerana tanpa jahitan.  Badan rasa lebih bertenaga. Berbeza dengan keadaan semasa saya bersalin anak sulung yang lepas.

Disebabkan wad penuh, saya masih ditempatkan di dewan bersalin.  Pelawat masih belum dibenarkan masuk, dalam masa yang sama, perut terasa pedih sebab lapar. Selepas bersalin hanya secawan milo suam yang saya minum, saya ambil kesempatan untuk makan terus Vita lea yang memang dibawa bersama.

Hanya pada pukul 8.30pagi saya dipindahkan ke wad.  Kepala masa tu dah rasa berpinar-pinar sebab pening, saya hanya baring sahaja di katil, risau jika pengsan sebab belum makan apa-apa sejak pukul 3.30 pagi.  Sarapan hanya dihidangkan pukul 10 pagi. Masa itulah baru saya makan makanan berat untuk kembalikan tenaga, apapun saya bersyukur kerana sedikit sebanyak Vita Lea memang membantu saya untuk bertahan.

Semasa dalam pantang, saya teruskan makan Vita Lea, alhamdulillah pengalaman yang saya rasakan 100% berbeza dengan kelahiran anak yang sulung.  Jika masa pantang yang pertama dahulu saya alami cabaran begini:

1- Pinggang hingga ke tapak kaki cramp, paling terasa seksanya semasa hendak tidur dan bangun pagi, saya rasa macam lumpuh setengah badan, hendak mengiring menukar posisi tidur hanya Allah yang tahu seksanya bagaimana.  Setiap kali bangun pagi, tidak dapat bangun sendiri kerana pinggang yang sakit, suami akan bantu untuk bangunkan saya hingga boleh berdiri.
Selepas makan Vita Lea Shaklee: Alhamdulillah langsung tiada masalah diatas. :)

2- Masalah sembelit. Sembelit yang teruk, hingga memakan masa 45minit ditandas.  Trauma jahitan terbuka dan rasa trauma hendak ke tandas.
Selepas makan Vita Lea Shaklee: Alhamdulillah, sangatlah mudah urusan membuang air ni...rasa seronok sangat!

3- Masalah badan rasa sakit-sakit dan kurang tenaga. 
Alhamdulillah selepas mengamalkan Vita Lea, langsung tidak rasa sakit-sakit badan.

Secara jujurnya, saya bersyukur sangat dapat berkenalan dengan supplement Shaklee... Daripada Vita Lea inilah saya terus jatuh suka sangat dengan suplemen Shaklee...

Untuk perkongsian akan datang, saya akan share fakta lain tentang Vita Lea, dan kenapa Vita Lea ini sungguh istimewa. Jumpa lagi di entri akan datang. InshaAllah...
-------------------------------------
Berminat hendak tahu lebih lanjut tentang Vita Lea Shaklee atau produk lain?
Hubungi saya, saya akan cuba menjawab soalan anda.
- Ijja : 017 2043577 {SMS/Whatsapp/Telegram}






Jumaat, 5 September 2014

Shaklee Penyebab Kanser? (Entri ini panjang)


Assalamualaikum pembaca..
Salam Jumaat yang penuh dengan rahmat dan penghulu segala hari. Didoakan pembaca dimudahkan urusan & dimurahkan sezeki, amiin...

Wuuu..kecoh dan menjadi viral di laman Muka Buku 'FB', apabila seorang cikgu yang mengatakan selepas mengambil supplemen Shaklee, rahim beliau terus membengkak...

Saya ni baru sahaja hendak berjinak-jinak dengan Shaklee...lepas satu kontroversi, ada lagi kontroversi baru, apapun, saya yakin produk Shaklee adalah yang terbaik, inshaAllah.. Saya yakin bukan kerana teori kosong atau sekadar cakap-cakap orang, tetapi selepas menjadi pengguna Shaklee semasa mengandung anak kedua. Memang nampak hasilnya, Alhamdulillah, semua yang terjadi adalah dengan izin Allah, kita hanya berikhtiar...

Berkaitan isu ini juga, saya tertarik dengan satu jawapan daripada 'pengkomen' yang menulis di status guru tersebut : 


Puan Noraini Babyana menulis: 
Salam......tahun 1992 saya dibuang ovari sebelah kiri....selepas beberapa tahun saya alami masalah haid tidak teratur dan haid berterusan.....doktor kata ovari kanan jg ada cyst (2006). Saya takut dibuang lagi ovari kerana itu sangat penting untuk wanita.  Saya cuba cara suplemen, dan ambil GLA Shaklee.  3 bulan juga haid asyik keluar, lepas itu ok semula, dan sampai sekarang saya masih ambil GLA.  Pendapat peribadi saya,mungkin fibroid tu atau Cyst memang dah ada sebelum ambil GLA cuma kecil dan tiada simptom, tetapi bila ambil GLA, hormon mula aktif dan menyebabkan simptom dapat dikesan.  Kerana dahulu ada satu kes juga, wanita ada fibroid selepas sebulan ambil Herbal***, namun jawapan pakar, fibroid ambil masa yang agak lama untuk tumbuh.... So takut jgk kena saman balik. 

Cuba bincang dengan lawyer, doktor n buat saluran yg betul. Sebab saya melihat masalah itu begini: 
"Anda ambil supplement untuk hamil"
- Bererti anda tidak subur atau ada masalah rahim (Punca belum hamil)
- Kedua, tentang percampuran produk. (Ini lagi bahaya sebab Shaklee akan saman semula)
- Takut nt yg beriya2 komen sama x bantu cikgu time perkara berbangkit...
Paling elok, minta laporan doktor, minta nasihat lawyer...klu betul salah produk itu kuat boleh di dakwa, alhamdulillah... Mungkin produk2 begini harus melalui perbincangan dengan doktor dahulu.  Semoga cepat sembuh cikgu..
 -------------------

Saya kongsikan satu entri daripada seorang pengedar Shaklee, yang mana saya kongsikan kembali di entri ini. (Tarikh tulisan beliau adalah pada 3 September 2014, Rabu)
Credit untuk penulis asal : Tuan Faizalfairuz.com

.......................................

Fuh! Shaklee Penyebab Rahim Wanita Bengkak ?!!!


As salam

Salam sejahtera kepada semua. Semoga anda sihat sejahtera di samping keluarga tercinta.

Sentiasa bergerak aktif untuk membakar lebih kalori dan makan secara sederhana. Ingat pesan Nabi Muhammad SAW, 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk air dan 1/3 untuk udara. Jangan semua 3/3 untuk makanan semata mata. Kalau tak ikut sunnah, itulah jadinya pelbagai penyakit kepada diri kita.

Malam ni, ada member saya PM dalam FB bertanyakan isu SHAKLEE PENYEBAB KANSER. Hurmm macam macam isu yang timbul hampir setiap bulan.

Saya jarang melatah hanya disebabkan tajuk tajuk seperti ini. Lazimnya masyarakat kita hanya baca tajuk tetapi tidak baca isi.

Jika dikatakan 'Lembu Boleh Bertelur' pun silap silap terus kita percaya sebab ianya SENSASI berbanding kita bagitahu 'Lembu Boleh Melahirkan Anak Lembu' .... bunyi macam biasa ja kan !!!!

Ok let's back to this topic. Isunya timbul apabila seorang pengguna Facebook yang merupakan seorang Guru telah meletakkan post ini di Wall Facebook miliknya.

Tarikh 3 September 2014
Ok untuk mengetahui dengan lebih lanjut apakah sebenarnya gambar gambar yang diletakkan di Wall facebook itu, boleh tengok di bawah ini;







APA JAWAPAN SAYA?

Sebelum saya memberi pandangan saya, jom kita tengok dulu beberapa jawapan daripada pengguna pengguna Facebook yang lain di laman Facebook milik si 'Cikgu' ini.



CIKGU .... PANDANGAN IKHLAS SAYA

Untuk pengetahuan cikgu, saya bukanlah di sini untuk menidakkan kebenaran yang cuba disampaikan oleh cikgu. Jika saya la menjadi agen yang menjual supplement tersebut kepada cikgu, pasti saya akan memberi maklum balas yang TERBAIK kepada cikgu kembali, mungkin bermula dari awal lagi bila saya nak menjual Set Vitamin tersebut kepada cikgu.

Saya terpaksa mengakui sememangnya bukan semua agen Shaklee mempunyai pengetahuan mengenai kesihatan. Demi mencari sesuap nasi bagi diri sendiri dan keluarga, ramai mengambil langkah untuk buat bussiness. Ada yang suri rumah, kerani dan lain lain yang berbeza dunia mereka dengan bidang kesihatan. Mungkin tidak sesuai untuk saya menjadi wakil kepada agen tersebut untuk meminta maaf kepada cikgu.

Tapi ternyata agen Shaklee tersebut tidak sama dengan saya dan kawan kawan yang lain. Mungkin bila pertanyaan cikgu tidak diendahkan, malah dikatakan membuat fitnah, jika saya menjadi cikgu pun, mungkin saya juga akan marah seperti cikgu. Takut jugak tengok cikgu marah seperti dalam Post di bawah ini;


KITA SAMA SAMA MENCARI REZEKI

Saya juga ramai kawan yang menjual supplement supplement yang lain, tetapi saya sedikit pun tidak pernah memperlekehkan bussiness kawan kawan saya kerana saya sedar rezeki itu datang dari Allah SWT.

Sejauh manapun kita berusaha jika ditakdirkan rezeki itu bukan milik kita, memang selama lamanya tidak akan menjadi milik kita.

Cikgu juga merupakan usahawan produk untuk menurunkan berat badan iaitu Ultra Shape.



Rupa rupanya kita di gelanggang yang sama dengan produk yang berlainan. Semoga niat kita bersama untuk buat bussiness diberkati Oleh Allah SWT.

Mungkin produk kami bukan produk Bumiputera, produk kami datang daripada USA, sebuah negara yang katanya menyokong Yahudi. Mungkin cikgu marah dengan USA sebab serang Palestin. Saya dapat tengok sejak pertengahan bulan Ogos pun cikgu dah menyebarkan propaganda propaganda ini.



Owh baru saya perasan, rupa rupanya cikgu sejak dari awal lagi telah membenci kami. he he he. Tak baik benci teruk teruk nanti akan jatuh sayangnya !!!!

BEGINILAH CIKGU .....

Apa yang berlaku antara cikgu dan agen Shaklee tersebut biarlah menjadi isu cikgu dengan agen tersebut.

Sebab jika saya, saya memang tak boleh nak terima bulat bulat apa yang cikgu cuba propagandakan. Ini berdasarkan sebab;

1. Bukti yang cikgu tunjukkan adalah tidak telus kerana kenapa perlu sembunyikan nama pengadu yang bermesej dengan cikgu.

2. Cikgu juga merupakan usahawan produk supplement kesihatan iaitu Ultra Shape. Saya juga agak 'curious' dengan produk cikgu kerana saya tak pasti adakah ia telah menjalani beribu ribu ujian klinikal seperti mana produk Shaklee? Yang lebih membimbangkan adakah cikgu juga turut mengambil produk tersebut? Saya juga boleh katakan cikgu mungkin berpenyakit kerana produk tersebut !!!!!

Cikgu kata cikgu ambil supplement Shaklee awal Ramadhan (awal Bulan Julai) dan STOP 29 Ogos 2014.


Tapi dalam pertengahan Bulan Ogos cikgu dah mula membenci Shaklee dengan mengatakan Shaklee membantu Israel !!!! Dalam membenci cikgu masih makan supplement Shaklee sehingga 29 Ogos 2014. Hurmm .....

3. Adakah mungkin rahim cikgu sememangnya dah bengkak sebelum ini, mungkin rahim cikgu yang bermasalah sebelum ini. Adakah terdapat sebarang pembuktian yang rahim cikgu ok sebelum ini?

Saya bukan berniat hendak membuktikan cikgu tidak bersalah. Tetapi saya juga orang yang bekerja dalam kesihatan. Dalam masa 2 bulan cikgu makan supplement Shaklee cikgu dah membuat anggapan semua ini disebabkan oleh Shaklee !!!


Cikgu perlu buktikan dengan apa jua kajian klinikal yang mana makanan tambahan boleh memberi kesan kepada pembengkakan Rahim jika diambil dalam tempoh hanya 2 bulan ?!!!!

Saya mungkin akan menjadi lebih hormat kepada cikgu jika cikgu dapat buktikan sememangnya hanya supplement Shaklee yang telah menyebabkan cikgu jadi seperti itu. Buat ujian, buat pemeriksaan. Ini baru setakat mendapatkan pemeriksaan di klinik yang 'pakar', cikgu telah membuat persepsi sendiri. Lagipun doktor tu hanya bagi kat cikgu Asid Folik dan Kalsium kan .... !!!! 

Untuk seorang pesakit itu dikatakan mempunyai kencing manis sekalipun, ia bukan mengambil masa 2 - 3 bulan tetapi penyakit itu hanya dapat dikesan setelah 5 - 10 tahun lamanya. 

CIKGU ...... CIKGU ....... CIKGU .......

Jika benarlah bagai di kata, cikgu mungkin ada yang tidak serasi dengan beberapa nutrisi yang terdapat dalam supplement Shaklee.

Mungkin jugak cikgu turut mengambil supplement lain.

Mungkin jugak cikgu berdendam dengan Agen Shaklee tersebut.

Mungkin juga sebab cikgu marah Shaklee yang katanya menyokong Israel.

Kalau nak dibandingkan kes cikgu ini, banyak lagi testimoni lain yang membuktikan sebaliknya. 



Saya telah menggunakan penaakulan fikiran saya yang waras dalam membantu cikgu mencari penyelesaian terbaik. Mungkin saya boleh marah dan maki cikgu menggunakan cara yang digunakan oleh cikgu, tetapi sebagai lelaki yang ada 9 akal tak mungkin saya berbuat demikian.

Saya tidak bertanding untuk membuktikan cikgu bersalah atau berniat untuk membuatkan cikgu menukar persepsi cikgu. 

Mungkin cikgu boleh renung kembali Posting yang cikgu buat dalam facebook cikgu sendiri;


Wallahua'lam






Selasa, 18 Februari 2014

Restoran Melayu, Restoran Mamak


Entri ini ditulis, selepas sekian lama memerhati, dan ianya berdasarkan pengalaman.

Kenapa restoran Mamak kadang dan selalunya lebih penuh pelanggan berbanding Restoran Melayu?  Saya ini bukanlah pelanggan tegar Restoran Mamak, bahkan sangat jarang masuk. Jika masuk juga, itu maknanya keadaan sudah memaksa, atas beberapa keadaan.  Contohnya mungkin berhenti di mana-mana perhentian atau di sesuatu tempat (Lewat malam atau menjelang dinihari) tetapi tiada restoran Melayu yang buka. Maka restoran Mamak adalah pilihan yang terakhir. Bukan apa, cuma perut saya sedikit sensitif apabila makan masakan Mamak. Bukan sekali dua, tetapi acap kali apabila balik sahaja daripada Restoran Mamak, perut mesti memulas-mulas.

Menu paling selamat yang saya makan di restoran mereka hanyalah dalam kumpulan Roti sahaja. Roti Canai, Roti Nan, dan jenis lainnya. Cuma apa yang paling saya suka di restoran Mamak ini adalah servisnya. Rata-rata kedai mamak yang pernah saya datangi, selalunya servisnya laju, cekap, dan pantas.

Contoh keadaan: 

Kita baru keluar kereta, sedang menuju ke dalam restoran mereka, mereka terus menuju ke arah kita, belumpun sempat berfikir dimana hendak duduk, mereka akan automatik tanya,

"Minum apa kak, abang?, semua ada." 
(Walaupun kami tak pernah jadi adik beradik kandung. Ikut mazhab bisnes Bahasa Melayu Tinggi-BMT, panggilan yang tepat untuk orang yang tidak kita tahu statusnya hanya:

1- Tuan / 
2- Puan /
atau 
3- Cik Puan (Untuk status yang tidak kita tahu samada sudah berkahwin ataupun belum)
-Eh, sempat lagi kuliah BMT…

Selepas pesan makanan dan minuman, saya selalu kira masa diambil untuk minuman sampai adalah dibawah 2 minit. Terbaik!

Makanan pula mengambil masa dalam 5 ke 10 minit jika Roti Canai, dan bergantung kepada ramainya pelanggan pada waktu tersebut.

Saya perhatikan juga, pekerja mereka semuanya dalam keadaan berdiri, jarang nampak yang duduk senang lenang, ber-sms, atau sibuk dengan telefon bimbit.  Keadaan berdiri itu menunjukan mereka sentiasa bersedia untuk segera ke meja pelanggan jika dipanggil.

Restoran Melayu:

Jika ikut tekak, saya lebih suka masakan melayu.  Tetapi acapkali servisnya yang lambat, membuat saya merasakan itulah kunjungan pertama dan terakhir. 

Bayangkan sahaja pelanggan datang membawa perut yang lapar. Pelayannya pula kadang-kadang tidak menghiraukan pelanggan yang masuk. Ada yang masih terus bersembang, terus leka dengan telefon bimbit, paling teruk ada yang sedap tidur. 

Perut pelanggan yang sedang lapar, bertambah pedih dan ditambah pula dengan rasa sakit hati. 

Pernah terjadi, saya dan suami melangkah ke sebuah restoran Ikan Bakar di Bangi (Nama restoran dirahsiakan). Semasa kami sudah duduk, pelayan lelaki datang ke arah kami selepas beberapa minit. Cara jalan sahaja seperti malas-malas. 

"Dah ambil 'order'?"
Apa yang saya perasan, pelayan lelaki itu duduk dihadapan kedai tadi, dan memang nampak kami baru masuk. Apabila sampai ke meja kami, ditanya pula kami soalan begitu.  Hmmm~~~

Selepas memesan minuman. Saya kira-kira, ada dekat 4 minit barulah minuman sampai.

Semasa mahu membayar pula, tiada pekerja menjaga dikaunter. Terpaksa lagi dipanggil. 
Aduh.. satu demi satu….

Saya kira pemilik restoran Melayu perlu peka dengan keadaan begini. Jangan susahkan pelanggan. Pelanggan itu ibarat tetamu. Satu demi satu kesusahan pelanggan lalui. Perbaiki S.O.P ('Standard Operation Procedure') agar lebih tersusun.  Sesuatu yang buruk sering menjadi punca pelanggan trauma untuk datang semula. Jika beberapa orang pelanggan hilang sehari, setahun sudah berapa, banyak kerugiannya. Akhirnya restoran Melayu satu demi satu bungkus tikar.  Bukan kerana makanannya tidak sedap, tetapi hanya berpunca daripada kualiti servisnya yang teruk dan menyusahkan pelanggan.

Bayangkan pemilik adalah pelanggan, layanlah pelanggan sebagaimana kita suka kita dilayan, bahkan layan dengan lebih baik lagi, tiada apa ruginya…

SOP paling cantik, yang pernah saya alami adalah semasa pertama kali mengunjungi Little White Cafe Bandar Baru Bangi. Pemiliknya bagus. Pemilik kafe ini adalah Melayu, pasangan suami isteri.



Layari Facebook mereka untuk lebih maklumat dan gambar:  Little-White-Cafe 

Kita sampai sahaja, dibukakan pintu, dilemparkan senyum, dan dipersilakan duduk dimana-mana meja yang kita suka. Semasa kita melihat menu, pemiliknya sendiri akan menerangkan kepada kita menu apa yang terbaik dan menu apa yang ada, dan akan menjawab setiap pertanyaan kita.
 
Kualiti makananpun memang sedap. Ditambah pula 'ambience' yang luarbiasa boleh melekat didalam memori. 

Ada satu insiden, dimana kami sedang makan, tiba-tiba ada seorang lelaki berjubah putih dan berkopiah, masuk memberi salam. Kami ingatkan dia adalah pengunjung juga, tiba-tiba sampai sahaja dimeja kami, dia katakan mahu mengutip derma. 

Sedikit kaget, kerana pada waktu itu, 'feel' kita sudah rasa macam pergi ke kafe  luar negara (dekorasi dalamannya yang berkonsepkan Inggeris/American), baru sahaja suami hendak buka dompet, pantas pemilik kafe datang kearah lelaki tadi, dan mengajaknya keluar daripada kedai. Sempat kami menangkap kata-kata pemilik kafe, katanya,

"Please, do not disturb our customer", sambil beliau mengeluarkan duit kertas daripada dompetnya sendiri dan menghulurkan kepada lelaki berjubah tadi. 

Kami tergamam, dan rasa sangat 'secure'. Bukannya tidak suka mereka yang meminta derma ini, cuma adakalanya selera makan tiba-tiba boleh terganggu jika tidak kena keadaannya.  Tindakan pemilik kafe tadi, benar-benar menyelamatkan keadaan, dan saya belum pernah jumpa keadaan begini di restoran-restoran melayu yang lain. Ini kali pertama.

Saya kira, pemilik kafe tadi berbuat demikian adalah mahu menjaga mood dan situasi pelanggannya. Terbaikkan?

Saya ada pautkan sekali Facebook 'Little White Cafe' jika anda sendiri mahu rasakan kelainannya. Memang hilang 'stress' apabila keluar sahaja daripada cafe tersebut, terasa seolah-olah baru balik daripada 'travel' luar negara… 

Tidak hairanlah jika harga makanannya mahal sedikit, kerana mereka menjual 'experience' kepada pelanggan. 

Mode : Saya sudah terasa rindu hendak ke cafe tersebut… :'(




Jumaat, 14 Februari 2014

+ Filem : Pencari Jalan Lurus


Entri kali ini pendek sahaja. Cuma hendak berkongsi satu filem yang bagus. Tanpa adegan sentuh-sentuhpun…

Filemnya ringkas sahaja, tetapi twist cerita agak menarik.

Saya tidak mahu komen panjang-panjang, tontoni sendiri dan nilai sendiri. :)


http://www.youtube.com/watch?v=7LXym0DuOiA

Rabu, 12 Februari 2014

+ Entri panjang: Pengalaman Bersalin - Hospital Serdang



Apabila kandungan kedua ketika ini memasuki fasa trimester kedua, semakin banyak pautan blog, artikel tentang kelahiran, saya baca semula. Untuk refresh persediaan kelahiran nanti. Meskipun kandungan kali ini adalah anak kedua, artikel tetap dibaca untuk menambah ilmu dan mengelakkan masalah dimasa hadapan.  Debaran menanti kelahiran bukan sahaja dirasakan kepada ibu yang mengandung kali pertama, bahkan mereka yang sudah anak kedua, ketigapun jika mengandung lagi, nervous tu tetap ada, kan? hihihi.

Satu hutang tulisan yang belum saya lunaskan hingga ke hari ini ialah menulis tentang pengalaman melahirkan Fawwaz. Fawwaz sudah masuk 2 tahun 23 hari (baru nak update?)Hohoho.. Tulisan di blog ini  hanyalah sekadar untuk tatapan peribadi dimasa hadapan, boleh juga sebagai rujukan kepada bakal ibu baru, moga mendapat manfaat sedikit sebanyak dari sini.

Saya akan tuliskan semula semua detik-detik kelahirannya. Semasa mengandungkan Fawwaz, saya dan suami masih tinggal di Taman Kajang Impian, Selangor.  Sebelum melahirkan lagi, saya sudah membaca beberapa ulasan pengalaman daripada ibu-ibu yang lain, hospital manakah yang terbaik untuk proses kelahiran.  Ada beberapa pemilihan hospital ketika itu:


1- Hospital Putrajaya
2- Hospital Serdang
3- Hospital Kajang.

*Sedikit tambahan info : Caj bersalin Hospital Serdang:

Sumber daripada web hospital Serdang : http://hserdang.moh.gov.my/ms/awam/caj-bayaran/caj-bersalin.html
Semasa saya discaj dulu, caj yang dikenakan ialah RM63.80


Ketiga-tiganya adalah hospital yang terdekat dengan rumah. Mudah jika ada hal kecemasan. Hendak berulang alik mudah. Diringkaskan kisah, saya susun semula mengikut kronologi.

Pagi, 19.01.2012 :
- Sempat buat sarapan untuk suami sebelum ke tempat kerja. Selepas itu, sempat lagi mop lantai ruang tamu, bilik tidur, hinggalah ke ruang dapur.  Saat itu saya dapat rasakan kontraksi sudah ada. Pinggang terasa sakit-sakit, selang beberapa minit, perut terasa mengejang. Saya memujuk hati tiada apa-apa yang berlaku memandangkan  mengikut tarikh jangkaan bersalin pada buku merah adalah 01.02.2012. (Ini bukan pujuk, tetapi 'nervous' sebenarnya. Kali pertama, pelbagai rasa dirasakan.)



Masuk ke bilik air, ada sedikit tanda pendarahan. Saya kaget. Cemas seketika. Langsung saya hubungi kakak saya yang berada di WP Labuan, memandangkan dia jururawat di hospital Labuan.

"Dik, pergi hospital teruslah, jangan tangguh-tangguh" Kak Ati menjawab ditalian.
"Kalau pinggang dah rasa sakit-sakit, ada kontraksi, mau bersalin sudah tu" sambungnya lagi.
"Ok kak, ok, kami ke hospital lepas ini."  Saya menjawab ringkas.

Usai menelefon kak Ati, terus hubungi suami. Suami diberikan cuti seminggu.  Mak mertua dan keluarga suami juga sudah dimaklumkan. Keluarga saya di Sabah juga sama, memohon doa daripada jauh agar semuanya berjalan dengan selamat.  Bersama-sama beg kelengkapan bayi dan beg kelengkapan peribadi sendiri, kami terus menghala ke hospital Serdang. Entah bagaimana saya terdetik mahu kesana. Ikut naluri sahaja, tidak sempat nak fikir-fikir lagi.

---------------------------------
Hospital Serdang :

Cari bangunan Dewan Bersalin. Dewan bersalin, bangunannya di sebelah kiri bahagian pintu masuk, kira bangunan pertama yang kita akan lalu sebelum bangunan seterusnya. (Ada signboard besar tertulis - Dewan Bersalin) 

Memandangkan hospital Serdang sentiasa penuh tempat letak keretanya, suami menurunkan saya di hadapan pintu utama terlebih dahulu, sebelum mencari tempat parkir yang sesuai. Saya terus masuk dan duduk di ruang menunggu memandangkan kaunter pendaftaran juga penuh dengan  pasangan yang sedang menguruskan pendaftaran. Saya melihat sekeliling, agak ramai. Dalam hati terus berdoa agar Allah mudahkan urusan semuanya. Mengikut pembacaan reviu di blog ibu lain sebelum ini, wad bersalin Serdang memang sentiasa penuh.

Suami sampai sahaja, dia terus ke kaunter pendaftaran untuk mendaftarkan nama saya, memandangkan pasangan sebelum ini baru sahaja selesai mendaftar. Sambil menunggu giliran, saya menahan rasa kontraksi. Sakit itu datang dan pergi bersilih ganti.  Selang dalam 40 atau 35 minit rasa itu datang semula. Mata hanya terkejip menahan rasa sakit. Dalam hati terus berzikir.

Hampir 50 minit berlalu, barulah nama saya dipanggil. Dengan rasa berdebar dan rasa lain yang berbaur, melangkah juga ke dalam satu bilik khas yang terletak di sebelah kaunter hadapan, jururawat kata hendak periksa bukaan. Memandangkan ini pengalaman pertama bersalin, saya tidak dapat membayangkan secara pasti bagaimana ia akan dilakukan. Oh ya, saya terlupa, semasa mendaftar tadi, jururawat ada pesan untuk bawa kain batik/kain sarung sekali apabila nama dipanggil. 

Sebelum bukaan rahim diperiksa, terlebih dahulu saya diminta untuk menyalin kain batik. Jururawat membawa saya ke katil kosong yang disediakan. Dalam bilik itu ada beberapa lagi katil lain, ada perempuan Arab, Melayu, dan Cina. Pemisahnya hanya langsir berwarna merah jambu. Sambil membaringkan badan, telinga saya cepat menangkap beberapa suara erangan menahan kesakitan kontraksi. Seriau sekejap saya rasakan.

Jururawat tadi terus mengimbas (scan) kandungan untuk melihat kedudukan bayi dan denyutan jantung bayi. Selepas itu memaklumkan dia akan periksa bukaan pintu rahim (Vagina examination - V.E).

"Tahan sikit ya puan, akan sakit sedikit ni" Jururawat itu memaklumkan sebelum memulakan prosedur.
Saya hanya mengangguk. Pasrah. Saya hanya mengacip gigi, mata terkejip sedikit, menahan sakit. Nasib baiklah sekejap sahaja.

"Baru 3 cm ni, biasanya kita akan tunggu sampai 9 atau 10cm barulah tolak ke 'labor room'." Jururawat memaklumkan sambil membuka sarung tangan.

"Oh, saya perlu tunggu dahulu atau macamana?," Saya meminta kepastian.

"Sekejap lagi saya maklumkan, saya tanya doktor dahulu." Jururawat tadi berlalu ke bahagian kaunter dalam bilik tersebut. Saya duduk di barisan kerusi berdekatan kaunter. Sambil memerhatikan dua orang doktor yang saya kira masih fresh dan seorang lagi doktor senior, sedang berbincang sesuatu mengenai masalah seorang ibu mengandung disitu.

"Puan Khatijah…," Mendengar nama saya dipanggil, saya bergegas ke kaunter. 

"Puan boleh balik rumah dahulu, sebab bukaan masih awal. Biasanya anak sulung jarak bukaan memakan masa sedikit lama, jangkaan dalam 1cm setiap sejam, ada yang lebih lama daripada itu. Wad bersalin pula masih penuh". Jururawat tadi menerangkan panjang lebar. (Saya lupa namanya siapa)

Saya mengangguk tanda faham, selepas mengucapkan terima kasih, saya menemui suami yang menunggu di luar. Ibu dan ayah mertua juga sudah sampai. Dari jauh mengukir senyum, kandungan kali ini adalah cucu pertama buat keluarga suami.

"Macamana? belum boleh bersalinkah?," suami menyoal dengan nada sedikit gusar.

"Nurse bagitau, kena balik rumah dahulu. Bukaan pintu rahim masih awal. Lagipun wad bersalin penuh." Saya jawab perlahan sambil senyum pahit.

"Nak balik terus atau macamana?" Suami soal saya balik.

"Entahlah, rasanya tunggu sahaja disini sampai petang, kalau tak rasa sakit sangat sampai petang ini, kita balik sajalah dahulu." Saya menjawab ikut rasa-rasa. Memandangkan diri sendiri juga susah menjangka keadaan, memandangkan ini pengalaman pertama.

Ibu mertua membawa sekali air selusuh. Ibu mertua pesan supaya minum sekejap lagi. Memandangkan saya belum bersalin, ibu dan ayah mertua meminta diri dahulu, dan berpesan jika ada apa-apa maklumkan sahaja kepada mereka. Mereka terpaksa meminta diri awal kerana ada urusan yang perlu dibereskan.

------------------------------
Kafeteria Hospital Serdang.

Perut mula berkeroncong, selang seli dengan kesakitan kontraksi. Masih berselera untuk makan. Selepas makan, saya teguk air selusuh yang dibekalkan. Harapan agar bersalin dengan lancar, mengharap bantuan daripadaNya. 

Masuk sahaja waktu Asar, kami terus ke surau untuk solat. Usai solat, saya semakin rasa sakit. Kontraksinya tetap dan selang beberapa minit sahaja. Berjalanpun sudah terasa sakit-sakit. Terasa seperti kepala bayi berada dihujung-hujung sahaja. Sudahnya suami meminjam 'wheelchair' di bahagian kaunter hadapan pintu utama Hospital Serdang. Menggunakan wheelchair, suami menolak saya sedikit laju, risau melihat keadaan saya yang sudah tidak keruan.
-------------------------
Kaunter Dewan Bersalin

Menunggu semula nama dipanggil & dan selepas itu masuk semula ke bilik tadi untuk VE.

"Sudah 5cm puan. Tetapi puan perlu tunggu juga dahulu di kerusi luar sehingga betul-betul terasa hendak bersalin ya. Jika tidak dapat tahan, barulah masuk semula kesini. Mungkin selangnya memakan masa dalam 4 atau 5 jam lagi"

Saya mengangguk lemah. Mendengar jangkaan 4 dan 5 jam itu terlalu lama, menanggung pula rasa sakit kontraksi. Penantian satu penyeksaan. Sakitnya rasa nak bersalin begini. Terkenang betapa besarnya pengorbanan mereka yang sudah bergelar ibu. Ini baru anak pertama. 

Saya terkenang emak saya di kampung, melahirkan kami adik beradik seramai 14 orang. Allah, besarnya pahala mama. Banyaknya pengorbanan emak, mengandungkan, melahirkan, menyayangi, membesarkan, mendidik kami adik beradik. Tidak hairanlah jika Allah menganugerahkan pahala yang besar untuk ibu yang hamil dan ibu yang akan melahirkan. 

Air mata bergenang. Terbayang senyum mama dalam ingatan. Sempat lagi melayan perasaan dalam rasa sakit kontraksi.

Telefon saya berdering, Kak Ati menghubungi,

"Dik, sudah bersalinkah?"

"Belum lagi ini. Sakitnya kontraksi ini kak, ada tipskah untuk kurangkan rasa sakit ini?"

"Masa rasa sakit itu datang, tarik nafas dalam-dalam dan panjang guna hidung, lepas itu hembus perlahan-lahan melalui mulut.  Nanti masa bersalinpun begitulah teknik untuk meneran bagi bayi keluar"

"O.k Kak, terima kasih."

"Nanti bagitaulah perkembangannya ya. InshaAllah semua o.k tu, fikir yang positif sahaja." Kak Ati menenangkan rasa gusarku.

Air mata mengalir perlahan, menahan sakit. Air selusuh diteguk lagi ketika rasa dahaga datang.  Suami sudah tersenguk-senguk di kerusi menahan kantuk. Saya juga rasa sedikit mengantuk, namun rasa sakit yang memerangi diri, membantutkan rasa nikmat tidur. Saya lihat hanya tinggal beberapa orang sahaja di kerusi menunggu. Satu demi satu nama suami kepada pasangan yang bersalin dipanggil dan diarah memakai baju putih. Hospital Serdang ini, seronoknya satu lagi ialah suami boleh temankan isteri di dalam 'labor room'. Semangat sikit hendak meneran nanti. :)

Menjelang pukul 10.45 malam, sakit sudah terasa sangat sakit. Saya teruskan dengan tips Kak Ati berikan tadi, sedikit sebanyak memang mengurangkan rasa kontraksi.

Tidak dapat bertahan lagi, saya maklumkan pada suami, saya hendak jumpa nurse untuk periksa semula bukaan.

Sampai di kaunter bilik bahagian dalam, tiada sesiapa di kaunter. Saya menekan loceng meja beberapa kali, sehinggalah seorang jururawat datang.

"Sakit sangatkah puan?," Jururawat itu bertanya dengan riak wajah yang tenang, tidak cemas atau apa. Sudah terlatih dengan situasi.

Saya hanya mampu mengangguk lemah, sambil memegang perut, langkah kakipun sudah rapat-rapat, tidak dapat membuka langkah panjang seperti biasa. Membuka mulut untuk bersuara juga sudah tidak berdaya.

"Puan baring dahulu ya, saya periksa dahulu."
Jururawat terus membuat VE.
"Sudah 8cm"
Saya sedikit lega. Dalam fikiran ketika ini, hanya mahu bersalin. Terus berdoa agar bukaan bergerak dengan lebih cepat.

Beredar sahaja jururawat tadi, perut terasa semakin sakit, dan terasa betul-betul hendak keluar dah bayi ini.
Saya memanggil jururawat tadi, menguatkan suara supaya kedengaran.

"Puan rasa sakitkah?."
Saya angguk-angguk.
"Saya rasa macam sudah hendak terberanak." lesu saya menjawab. Berbaringpun sudah rasa tidak selesa. 
"Tak dapat tahan lagi?."
Saya geleng kepala.  Jururawat tadi terus memanggil doktor yang bertugas. Doktor terus buat VE. 

"Ok lah, boleh masuk labor room kalau memang rasa nak terberanak sangat." Doktor memberikan arahan kepada jururawat tadi.

Saya diarahkan untuk berpindah ke atas katil beroda. Terus ditolak menuju ke labor room (LR).

---------------------------------------------------
Labor Room (LR)

Duduk sahaja di katil yang boleh dilaras kedudukan tinggi rendahnya, doktor memeriksa bukaan rahim, pada masa itu walaupun bukaan baru 8 cm, saya sudah dapat rasakan pergerakan bayi benar-benar hendak keluar. Saya terdengar nama suami dipanggil, untuk masuk ke LR. Lega apabila melihat suami ada disisi, saat-saat genting begini, kehadiran suami memang membantu dan memberikan satu semangat lain. 

Air ketuban dipecahkan. Diarahkan untuk teran apabila kontraksi itu datang. Semakin kuat kontraksi datang, semasa itulah waktu yang sesuai untuk meneran sekuat hati. Suami genggam tangan saya, dan tidak putus memberikan semangat, suami berpeluang melihat kelahiran anak pertama, setahu saya, suami alah kepada darah. Suami pernah bagitau dulu, dia mesti ada rasa nak pitam bila tengok darah yang banyak. Tetapi syukur kerana tiada apa-apa berlaku saat saya melahirkan. 

"Kuat sikit teran puan, push lagi."
Saya teran lagi, mencuba beberapa kali, kadang nafas terhenti-henti. Nafas terasa terkejar-kejar dengan rasa kontraksi yang datang. Ritma teranannya terasa tidak seimbang dengan kontraksi. Terdetik juga sedikit rasa putus asa, semacam malas hendak meneran, tidak yakin bayi akan keluar, selepas mencuba berkali-kali.

"Push lagi syg, sikit lagi" Suami berbisik di sebelah saya selepas dia melihat keadaan rahim adakah kepala bayi sudah kelihatan atau belum.

"Puan, cuba lagi, jangan lambat-lambat, nanti bayi lemas." Pembantu doktor mengingatkan. Saya cemas sedikit. Memotivasikan diri sendiri untuk membayangkan kehadiran bayi yang dinanti selama ini, membuat saya terus berusaha meneran dan mempraktikkan teknik yang Kak Ati kongsikan melalui telefon. Apabila kontraksi semakin pendek-pendek, mengambil nafas dan hembus juga jadi begitu, menjadi tarikan nafas pendek-pendek, menghembus nafas pula perlu sedikit kuat agar bayi tertolak keluar.

"Puan, punggung jangan angkat, nanti koyak, terpaksa jahit" Pembantu doktor menahan pinggang dan membetulkan semula kedudukan saya. 

Sayapun tidak pasti bagaimana keadaan punggung terangkat atau tidak dalam keadaan menahan sakit begitu, semua keadaan saya rasakan sama sahaja. Saya hanya fokus untuk keluarkan bayi ini sahaja.  Sakit bersalin hanya wanita yang merasakan betapa azabnya.

Suami tidak putus memberikan dorongan, setiap kali memandang wajahnya, semangat datang semula, entah daripada mana. Terasa ada kebersamaan dalam melalui detik sukar.

Selepas mencuba dan meneran lagi dengan bersungguh-sungguh, alhamdulillah, akhirnya bayi saya berjaya dan selamat dilahirkan.

11.46 malam, 19.01.2012, Berat 2.96kg. Mengambil masa selama 8 minit bayi keluar, 8 minit itupun saya rasakan sudah cukup lama. Oh!

Semasa doktor menyambut bayi, sempat saya menangkap doktor berkata kepada pembantunya : 

"He is not crying", sambil dia menampar lembut punggung bayi. Beberapa saat kemudian, barulah kedengaran suara tangisan bayi. Huhu, cemas sekejap.

Pembantu doktor berdiri di hadapan saya, "Puan, cuba tengok ni, lelaki atau perempuan?."

Dalam keadaan longlai, dan hanya sedikit tenaga yang bersisa, saya menjawab lemah, 
"Lelaki."
Senyuman terukir saat melihat wajah bayi yang dilahirkan. Terasa nikmat dan indahnya saat bersalin, meskipun diawali dengan rasa sakit kontraksi yang kuat dan hebat.  Hilang semua rasa sakit, terbang begitu sahaja berganti pula dengan rasa damai dan tenang.

Bayi diserahkan pada suami untuk diazankan dan diiqamatkan. Sayu bercampur ria taktala mendengar suara suami melaungkan kalimah suci pertama di telinga bayi. 'Alhamdulillah, terima kasih ya Allah.' Hati berbisik perlahan.

"Terima kasih sayang, abang tunggu diluar ya." Suami tersenyum dan melangkah keluar, kerana selepas habis sahaja proses bersalin, suami diminta untuk menunggu diluar sehinggalah nama akan dipanggil semula.

----------------------------------
Pengalaman menyusukan bayi kali pertama

Selepas bayi dibersihkan & dimandikan, penolong doktor tadi terus menyerahkan bayi kepada saya untuk diberikan susu. Awalnya rasa tidak yakin bolehkan air susu keluar? Alhamdulillah, berkat pembacaan dan perkongsian ibu-ibu lain di blog, minda kita perlu ready untuk bagi bayi susu, automatik air susu akan keluar. Bayi baru lahir sudah ada deria  dan tahu susu ibu adalah makanannya. Ia fitrah. Ajaibkan, tidak perlu diajar, bayi akan mencari sendiri makanan pada ibunya. :)

Memandangkan Hospital Serdang adalah hospital Rakan Bayi (mengamalkan & menggalakkan penyusuan susu ibu) mereka memang akan terus serahkan bayi kepada kita untuk diberikan susu badan.

Sebelum menyusukan bayi, pembantu doktor tadi sempat membancuhkan saya secawan Milo panas. Memang melegakan, rasa selepas bersalin, kehilangan banyak tenaga. Terasa hendak tidurpun ada.

Bayi tidur dengan lena selepas kenyang menyusu.
Bermulalah satu episod lain, yang saya geruni:
- jahitan episitomi- 

----------------------------
Pengalaman jahitan episitomi pertama.

Memandangkan semasa melahirkan, ada sedikit koyakan, maka jahitan terpaksa dibuat.

Dekat sejam lebih doktor pelatih (pelatih…) menjahit. Walaupun sudah dibius, kengiluannya masih terasa dan Allah sahaja yang tahu, sakitnya bagaimana. Masa menjahit lagi lama daripada melahirkan tadi. Huhuhu!

Saya rasa, dalam banyak episod, episod dijahit inilah yang membuat saya sedikit trauma hingga kini.

-------------------------
Episod yang sedikit tidak disukai.…

Pada malamnya, saya belum boleh dibenarkan keluar daripada hospital, kerana mereka menunggu keputusan doktor, dan menunggu sehinggalah bayi membuang air besar dan kecil. 

Pada malamnya, darah nifas keluar dengan banyak. Pad dicari dalam beg, tetapi malangnya, beg saya yang satu lagi suami saya terbawa balik ke rumah sekali. Haru kalau begini. Jadi pastikan bawa beg seminima yang mungkin ya. Saya bawa beg sampai 2 (satu beg saya, satu lagi beg bayi) suami  terbawa balik beg untuk keperluan saya.

Dengan perlahan-lahan, saya menghampiri kaunter tempat jururawat yang sedang bertugas. (Wad Kelas 3) wadnya bagus, ramai sikit orang, tidaklah sunyi sangat.

"Nurse, ada pad tak? suami saya terbawa sekali beg saya balik tadi" Saya bertanya dengan sopan.

Memandang wajah saya sekilas, dia menjawab pendek,
"Tiada" sambil terus menyambung menulis sesuatu dalam buku rekod.

Saya sedikit hampa. Kembali semula ke katil. Mencari inisiatif lain, terpaksa gunakan towel tebal yang saya ada bawa untuk jadikan solusi. Sedikit sedih, sempat menaip sms kepada suami. Memandangkan waktu melawat sudah lama tamat, lewat pagi pula, saya tidak mahu menyusahkan suami untuk menghantar beg itu semula.

'Tunggu esok sahajalah'. Berdoa yang baik-baik sahaja. Pergerakan saya juga jadi terhad, kerana kurang selesa.

Esok paginya, jururawat lain pula bertukar tugas. Ada yang mengemaskan katil, menukar cadar dan sarung bantal, dan mengambil tekanan darah.

Sampai sahaja di katil saya, jururawat bertugas terkejut kerana cadar saya penuh dengan darah.

"Puan, nanti ambil pad di kaunter situ ya, tembus banyak ni." Jururawat mengarahkan.

Saya berjalan perlahan, dan melihat jururawat lain. Selepas bertanya, pantas sahaja dia mengambil pad daripada laci bahagian bawah meja.

"Aik, semalam saya tanya, nurse semalam jawab tiada?"
Saya bersuara spontan.

Nurse tadi hanya senyum. Senyap, tiada jawapan apa-apa. 
Tanpa menunggu jawapan, saya terus ke bilik air. Menukar apa yang patut, basuh muka dan gosok gigi, terasa suhu sedikit dingin jika hendak pagi-pagi begini.

--------------------------
Jahitan kedua.

Seorang doktor senior, perempuan, datang memantau dari katil ke katil. Sampai giliran saya, doktor tadi terus memeriksa jahitan, dan menekan sedikit  rahim saya untuk memeriksa ada darah lagi atau tidak keluar.

"Sikit ya puan, saya hendak periksa jahitan."
Saya senyap sahaja.

"Ya Allah, jahitan terbuka ni puan…."

Saya dah dapat rasa semasa hendak duduk tadi, terasa jahitan tertarik dan putus. Ngilu…;(

"Siapa nama doktor yang jahit semalam?" Doktor itu bertanya.

"Nama dia, XXXXX" Saya jawab perlahan. Dalam hati dah berdebar. Aduh, nak kena jahit balik ke? saya gusar.

"Hmm, sekejap lagi, ikut saya masuk ke bilik sebelah ya, saya terpaksa jahit semula." Doktor itu bersuara lembut.

"Nak kena jahit semula yea? kalau tak payah tak bolehke?" saya bertanya, macam soalan bonus pula.

"Baik jahit semula puan, sebab jahitan ini tak kemas dan tak kuat, tak berapa betul teknik dijahit. Kalau puan tak jahit balik, nanti saya risau puan sampai kerumah nanti, terbuka pula jahitan yang lain"
Doktor itu seolah memujuk

"Ok, baiklah.." Saya jawab pasrah.
----------------------------

Sesudah bayi kecil saya membuang air kecil dan besar, surat untuk discaj sedang disiapkan oleh jururawat bertugas, saya dibawa oleh doktor tadi ke bilik lain.  Bersama seorang pembantunya, mereka menjahit dengan pantas sahaja.

Ada 3 jahitan. Yang tertanggal hanya satu, tetapi doktor tadi terpaksa menanggalkan semua jahitan, dan membuat jahitan baru. Seksanya tak perlu saya ceritakan, hanya mereka yang pernah lalui sahaja akan maklum rasanya bagaimana.

Saya menggigit kain menahan kesakitan.
Hampir 45 minit berlalu, jahitan selesai. Doktor tu memang baik. 

"Doktor pelatih ini pun, kalau buat kerja, buatlah betul-betul. Cincai. Buat betul-betul kerja, takdelah nak ulang balik kerja ni." Doktor perempuan tadi berkata kepada pembantunya.

"Nak berapa kali repair jahitan, bila begini", sambil doktor tadi mengesat peluh. Memeriksa semula jahitan, selepas diyakini sudah ok, barulah saya dibenarkan untuk keluar.

Suami datang tidak lama selepas itu.
Jururawat datang, membawa surat kebenaran untuk discaj. Alhamdulillah, akhirnya boleh balik, Yayyy!!!

-Tamat-

Update 2019:
Semasa saya melahirkan anak ketiga tahun lepas (1.5.2018) seeloknya jika anda nak minum air selusuh, jangan diminum jika bukaan rahim belum ada/awal. Seeloknya diminum apabila bukaan rahim sudah 8 atau 9cm keatas.

Namun pada tahun lepas (melahirkan anak ketiga) saya langsung tidak menggunakan air selusuh. Alhamdulillah kontraksinya tidak terlalu sakit. Pada masa ini saya hanya ikhtiar menggunakan supplemen set mengandung daripada Shaklee. Jika anda berminat hendak tahu lanjut, boleh hubungi saya - www.wasap.my/601125413089 - ijja

Wassalam.





Shaklee Ready Stock Sabah

Assalamualaikum dan selamat pagi.. Moga hari ini lebih baik dan bermakna dari hari-hari yang lepas Hari ini sekadar mau update stok ready...