Khamis, 28 Julai 2011

Ramadhan Yang Manis. Puisi yang sangat indah.


Alam itu cantik, gunung dan tasik,
maya terlalu indah, laut dan mega.
Lapar dan dahaga yang mengiktibar
cekal dan bersih suara mengajar:
Lapar kita dahaga yang menguji,
dahaga kita lapar yang mengerti,
ketakwaan penuh terhadap Ilahi.
Puasa—musim manis, bahang menguji,
angin yang santun ke pohon dakwah
bergugus dan sihat buah ibadahnya.
Bulan menyimpan kebijaksanaan,
musim indah di taman ramadhan,
menyerlahkan kemanusiaan luar biasa,
menginsafi keagungan Maha Kuasa.
Daun yang gugur, tanah yang rekah,
di atas sejadah harum iklimnya;
surah yang jernih dan suara syahdu
terhantar ke lidah dari damai qalbu,
merubah derita ke bahagia diri,
membimbing hidup yang diredai.
Solat malam, zikir doa, tulus sedekah
ibadah ummah, tangkai yang ketiga,
mengagumi Allah Subhanahu Wa Taala.
Langit beradab, kelam dan cerah
datang dan pulangnya iktibar berhemah.
Badik ketika murka, senyum sewaktu mesra,
alam, insan khusyuk menyujud Ilahi
sekiblat dalam tautan kasih yang hakiki.
Lailatul qadar ia pada detik terpilih
malam yang manis, indah dan jernih.
Pada malam sabar dan siang yang cekal
ranum pohon hikmah sebagai bekal;
gugus permata, kerlipnya paling mesra,
merimbun bugar, daunnya meneduhi ummah.

A. Samad Said
Bangsar Utama
9-13 September 2001

Jumaat, 22 Julai 2011

Doa Si Penjual Tempe

Tempe
Di sebuah kampung pedalaman Tanah Jawa,  ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.  Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyata memang kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil.

Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, 
"Tuhan, aku memohon kepada-Mu agar kacang soya ini menjadi tempe, Amin".

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi:
 
"Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!!

Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul.

Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.

Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". 
 
Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.  Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi?  tempenya masih belum menjadi!!
Dia pun kaget seketika,menarik nafas dalam-dalam.

Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia merasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.

Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya.

Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Tuhan, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.
"Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi."

Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Tuhan, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi.   Biarlah tempe ini seperti semula, amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Tuhan.
Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, 
"Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?"

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan...

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan.

Khamis, 21 Julai 2011

Novel ll Faisal Tehrani...

Sesudah Dr. Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama penanya, Faisal Tehrani meninggalkan penulisan dalam dunia blog, ramai peminat beliau terasa kehilangan. Ada sesuatu yang hilang dalam lembaran  aktiviti seharian mereka, iaitu menelaah dan membaca perkongsian tiap idealogi beliau.

Faisal Tehrani (selepas ini hanya akan ditulis sebagai FT sahaja) merupakan seorang penulis berjiwa besar, beliau adalah penerima Anugerah Seni Negara 2006 oleh kerajaan Malaysia dan Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009 oleh Kerajaan Negeri Melaka. Beliau menulis di majalah Dewan Sastera


Faisal Tehrani adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah-Politik dari Universiti Malaya (1998), Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia (2000), Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2010).

Saya mula jatuh hati pertama kali pada cerpennya yang saya baca, 'Kerana Manisnya Epal' sewaktu  ditingkatan empat. Cerpen itu termuat dalam Buku KOMSAS. Sesudah membacanya saya memburu setiap karya beliau dan mengikuti perkembangan penulisan beliau.

Berikut adalah kronologi karya beliau yang telah habis saya baca : (Tidak mengikut tahun bilakah karya tersebut diterbitkan) :

1- Cerpen : Kerana Manisnya Epal - (Tersiar 1995)
2- Cerpen Anastasia - (1992)
3- Cerpen Malam Ini Philadelphia Menangis (1994)
4- Cerpen Perempuan Anggerik (1996)
5- Cerpen Menanti Subuh (1996)
6- Puisi Sesudah Hujan Dahlia (1999)

7- Cerpen Irisan-irisan Mimpi (2000)
8- Cerpen Cahaya Pada Jiwa (2001)
9- Cinta Hari-hari Rusuhan terbitan Creative Enterprise (2000)'
10-  Perempuan Politikus Melayu oleh Penerbitan Pemuda (2000)
11-  Kumpulan Cerpen Kekasih Sam Po Bo terbitan Aberdeen World (2006)
12-  Maaf Dari Sorga, novel pertama - (Diterbitkan pada tahun 2003 : Zebra Publications)
13-  1515 oleh Utusan Publications and Distributor (2003)
14-  Novel Tunggu Teduh Dulu - ( Penerbitan Se-lain (2004) dan Ameen Publishing (2008)
15 - Novel Advencer Si Peniup Ney - Utusan Publications and Distributor (2004)
16 - Tuhan Manusia - Ameen Publishing (2007)
17 - Bila Tuhan Berbicara - Ameen Publishing (2007)
18-  Panduan penulisan kreatif : 'Karya Nan Indah' - Ameen Publishing (2007)
19-  Surat-surat Perempuan Johor - Yayasan Warisan Johor (2005)
20-  Ikan Fugu, Lukisan & Jimson - Utusan Publications and Distributor (2007)
21-  Detektif Indigo Kembali -  Ameen Publishing (2008)
22-  Rintih Chicago - Memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia - 1996/97
23-  Bedar Sukma Bisu - Dewan Bahasa dan Pustaka (2007)
24-  Ketupat Cinta (Musim Pertama) - Ameen Publishing (2009)
25- Tiga Kali Seminggu : Kumpulan Cerpen - Ameen Publishing (2010)
25- Sebongkah Batu Di Kuala Berang- PTS
26- Puisi Ingin Jadi Nasrallah
26- BARU TERBIT :Kumpulan drama Derik Kerisik - Ameen Serve 


Novel drama beliau yang terbaru - Derik kerisik saya belum menjumpainya lagi, tetapi jika di hadapan mata, pasti saya akan membelinya.


Untuk pembaca yang mahu berjinak-jinak dengan karya beliau, saya sarankan novel ' Tunggu Teduh Dulu', kerana novel ini sedikit ringan jika dibandingkan dengan novel-novel karya beliau yang lain.





Shaklee Ready Stock Sabah

Assalamualaikum dan selamat pagi.. Moga hari ini lebih baik dan bermakna dari hari-hari yang lepas Hari ini sekadar mau update stok ready...